Pelbagai pihak, termasuk pakar perlembagaan dan pengamal undang-undang tidak sepakat berhubung sejauh mana bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menyiasat Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).
Ada yang berpendapat bahawa kuasa JAIS - melalui peruntukan daripada enakmen negeri - hanya sah terhadap orang Islam dan ada yang berpandangan sebaliknya.
Menurut pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari ( kanan ), pihak berkuasa Islam - termasuk jabatan agama dan mahkamah syariah - hanya tertakluk kepada orang Islam.
Dan sekiranya dibenarkan oleh enakmen tertentu pun, menurutnya, ia masih boleh dicabar di mahkamah sivil.
"Soalnya adakah hadir ke gereja itu satu kesalahan? Setahu saya tidak, kerana jika ia kesalahan ertinya pergi ke gereja bagi orang Islam ialah sejenis jenayah syariah.
"Saya tak fikir begitu (jenayah)," katanya yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Sementara peguam Syahredzan Johan dan Mohd Radzlan Jalaludin pula berpendapat sebaliknya.
Menurut mereka, Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 memperuntukkan kuasa itu.
Shahredzan berkata, enakmen itu memberi kuasa kepada 'pegawai bertauliah' untuk menyiasat kesalahan bawahnya dan menangkap tanpa waran orang yang disyaki melakukan kesalahan.
'Boleh panggil siapa saja'
Ia juga memberikan kuasa "menggendaki mana-mana orang yang mengenali keadaan kes", memeriksa secara lisan dan menulis kenyataan yang diberikan.
"Harus diingati bahawa Enakmen Agama Bukan Islam 1988 ini mewujudkan kesalahan bukan sahaja untuk mereka yang beragama Islam, tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam.
"Ia bukanlah 'jenayah syariah' yang mana pendakwaan dilakukan di Mahkamah Syariah, tetapi kesalahan enakmen negeri yang mana pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Majistret," katanya.
Radzlan - yang terkenal dengan kes sensasi 'bini puaka' - pula berkata, enakmen itu juga membolehkan sesiapa sahaja dipanggil, termasuk daripada pihak gereja terbabit sendiri.
"Siasatan boleh diadakan pada siapa-siapa sahaja. Ada atau tidak dakwaan (mengembangkan agama bukan Islam) itu kita tidak tahu.
"Sepatutnya semua pihak berikan kerjasama selagi siasatan mengikut lunas undang-undang. Jika tidak, mereka ada kuasa mencabar tindakan itu, juga menurut lunas undang-undang," katanya.
Berhubung kuasa polis dan peranan polis pula, sekali lagi terdapat perbezaan pendapat antara pakar dan dua pengamal undang-undang itu.
Aziz Bari: Kuasa Peguam Negara relevan
Menurut Aziz, polis boleh menjalankan kuasa-kuasa tertentu, baik mengikut enakmen, akta dan undang-undang yang mengkanunkan kuasanya kerana "kerja polis melaksanakan undang-undang".
"(Tambahan lagi) undang-undang menyekat penyebaran agama bukan Islam adalah undang-undang sivil; ia bukan undang-undang syariah. Sebab itu kuasa Peguam Negara relevan (dalam isu ini)," katanya.
Sementara ketika ramai berpendapat tindakan itu sebagai pertindihan tugas, Radzlan pula secara berjenaka membandingkannya dengan keadaan siasatan kes lain seperti siastan VCD haram yang boleh dijalankan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali gus.
"Macam di internet, akhir-akhir ini banyak kes polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) menyiasatnya secara bersama.
"Soal sama ada ia bertindih atau tidak, kita tengoklah nanti siapa yang rajin buat kerja?" katanya.
Sementara Syahredzan ( kanan sekali ) yang juga pengerusi kempen PerlembaganKu pula berpendapat polis tiada kena mengena dalam kes tersebut bawah kuasa negeri.
Katanya, seperti dinyatakan dalam perlembagaan, undang-undang negeri (dan persekutuan bagi Wilayah Persekutuan) boleh mengawal dan menyeket penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
Menurut beliau, Selangor, contohnya, menggubal Enekmen Kawalan Dan Sekatan Pengembanga Agama Bukan Islam 1988 mengikut kuasa yang diberikan oleh Perkara 11(4).
"Maka pendakwaan juga berdasarkan kepada kesalahan- kesalahan yang tertakluk di dalam enekmen negeri. Tidak ada kena-mengena dengan polis," kata peguam di tetuan RamRais & Partners itu.