Polis Britain berkata mereka telah menahan seorang lelaki berhubung kes rompakan terhadap pelajar Malaysia semasa rusuhan di London minggu ini oleh sekumpulan yang berpura-pura mahu membantunya.
Suspek yang berusia 20-an itu, ditahan polis walaupun pelajar Malaysia tersebut, Asyraf Haziq Rosli, menegaskan dia tidak berdendam terhadap apa yang berlaku Isnin lalu, dan mahu terus tinggal di Britain sehingga tamat pengajiannya dalam bidang perakaunan.
Rakaman video mengenai Asyraf dibantu sewaktu rusuhan di Barking, Timur London, yang memaparkan sekumpulan lelaki memeriksa dan mencuri barangannya, dianggap antara imej yang mengejutkan dalam rusuhan tersebut.
Video ini disaksikan hampir tiga juta kali di di YouTube (kanan) dan insiden itu dikutuk oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron sebagai "menjijikkan".
Dalam satu kenyataan, Scotland Yard mengesahkan seorang lelaki telah ditangkap berhubung serangan tersebut, yang berlaku ketika Asyraf, 20, dalam perjalanan untuk menemui rakannya di Ham Timur yang bimbang mengenai rusuhan.
"Suspek yang dipercayai dalam usia 20-an, telah ditahan. Siasatan masih diteruskan."
Asyraf telah menjalani pembedahan ke atas rahangnya yang patah akibat serangan tersebut. Dia telah dibenarkan keluar dari hospital pagi semalam.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Asyraf berkata dia tidak berhasrat untuk meninggalkan Britain sekaraang kerana mahu menamatkan pengajiannya dalam tempoh dua tahun lagi.
"Saya merancang untuk menamatkan pengajian saya di sini," kata Asyraf, walaupun mengakui keluarganya memintanya pulang ke Malaysia.
"Saya mahu ibu datang melawat saya di sini. Saya bercakap dengan ibu, dia sangat bimbang. Dia mahu saya pulang. Saya tak nak," katanya.