Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menafikan mahu menjalankan operasi menyita Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya atas dakwaan premis itu tidak pernah diluluskan sebagai rumah ibadat.
Timbalan pengarah jabatan penguatkuasaan dan keselamatannya Tun Mohd Izlizam Bahardin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang arahan bagi tujuan itu setakat ini.
""Di pihak kami tidak menerima sebarang berita (berkaitan) dan arahan setakat ini.
"Kami tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung," katanya ketika diminta mengulas khabar angin bahawa operasi menyita DUMC akan dijalankan bila-bila masa pada hari ini.
Khabar angin yang disebarkan melalui SMS itu antaranya mendakwa operasi itu akan dijalankan kerana DUMC tidak pernah diluluskan sebagai gereja dan permohonan asalnya sebagai pusat komuniti.
SMS itu juga mendakwa operasi itu akan dijalankan bila-bila masa pada hari ini.
'Polis juga boleh bertindak'
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Izlizam bagaimapun tidak pasti sekiranya terdapat pihak penguatkuasa lain, seperti polis yang mengambil tindakan itu.
Jelasnya, jika berkaitan isu jenayah, polis juga boleh bertindak menyita sesuatu premis.
"Perkara itu di luar bidang kita," katanya sambil menjelaskan MBPJ hanya boleh bertindak terhadap premis yang tiada lesen.
Ditanya tentang status lesen gereja itu, Izlizam berkata urusan kelulusan rumah ibadat diuruskan jawatankuasa khas di bawah kerajaan negeri dan bukannya MBPJ.
Sementara itu, pejabat DUMC memberitahu Malaysiakini , setakat pagi ini belum ada tanda-tanda ia akan disita mana-mana pihak penguatkuasa.
DUMC menjadi tumpuan apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam di perkarangan premis itu pada 3 Ogos lalu.
Operasi itu menjadi kontroversi apabila ia dikaitkan dengan usaha penyebaran agama Kristian terhadap 12 orang Islam yang hadir dalam majlis itu.