Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Shuhardi Mat Isa - yang didakwa berlakon sebagai Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan BERSIH - bercadang menyaman beberapa penulis blog yang didakwa memfitnahnya.

Enggan mendedahkan nama mereka pada masa ini, Shuhardi berkata beliau tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa penulis blog yang didakwa menyunting videonya ketika sakit dengan cara yang tidak betul.

"Mereka terbalikkan (babak) yang awal kepada mula, yang mula kepada awal... Ia gambarkan saya seolah-oleh mati hidup semula (berlakon)," katanya.

Shuhardi Md Isa Sebelum ini, Shuhardi - peserta perhimpunan BERSIH - dikatakan dimanipulasi sesetengah pihak dengan mendakwa dia allahyarham Baharudin yang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Polis dilaporkan menyiasat perkara itu bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan mendatangkan khianat awam; dan Seksyen 233 Akta Multimedia bagi kesalahan melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pihak berkuasa juga pada 2 Ogos lalu dilapor merakam kenyataan Shuhardi dan aktivis usahawan Islam itu mengaku memberikan kerjasama penuh dalam sesi kira-kira 3 jam di rumahnya di Bandar Baru Salak Tinggi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shuhardi berkata, peguamnya masih mengumpulkan beberapa bukti berkaitan sebelum dijangka memfailkan saman minggu depan.

"Kita masih tunggu masa yang sesuai (untuk tujuan itu)," katanya yang juga setiausaha agung Persatuan Usahawan, Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop)

Tambahnya, saman itu akan dihadapkan kepada tiga atau empat orang penulis blog "yang berniat jahat" dan "pro-kerajaan".

Jenis dan nilai tuntutan masih dibincangkan dengan pihak peguam, jelas Shuhardi lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS