Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
T'ganu rayu bina segera hospital baru di Dungun
Diterbitkan:  Aug 11, 2011 11:04 AM
Dikemaskini: 3:06 AM

Kerajaan Terengganu merayu Kementerian Kesihatan agar mempercepatkan pembinaan hospital baru Dungun kerana ia begitu kritikal memandangkan hospital yang ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah dan kedudukan di satu lokasi yang sesak.

kt by election 070109 ahmad said Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ( kanan ) berkata cadangan pembinaan Hospital Dungun yang baru telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan tetapi sehingga kini ia belum terlaksana.

"Dua hospital yang sangat kritikal ialah Hospital Dungun dan Hospital Kemaman. Ia sudah tidak sesuai lagi beroperasi di tempat yang ada sekarang kerana pembangunan yang berlaku di sekitarnya, menjadikan ia agak sesak.

"Kita sedia memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dengan menyediakan tapak baru untuk Hospital Dungun, kira-kira 20 hektar di Kampung Che Lijah di sini," katanya ketika menghadiri program Ehsan Ramadan di hospital itu dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit serta menghadiri majlis berbuka puasa di Dungun semalam.

Ahmad berkata, keadaan Hospital Dungun yang rendah, sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat.

"Beberapa tahun lalu, pesakit hospital itu pernah dipindahkan ke tempat selamat akibat berlaku banjir kilat dan ia amat menyusahkan pesakit serta kakitangan hospital itu sendiri.

"Jadi kita haraplah agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan Hospital Dungun agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat di sini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS