Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengakui kewujudan nama 'Kg Baru' sebagai pengundi berdaftar berpunca daripada kesilapan semasa pendataan Borang A (Borang Pendaftaran Pemilih).
"Kesilapan itu berlaku semasa pengisian maklumat dalam ruangan nama pada sistem pendaftaran yang menyebabkan nama 'Kg Baru' telah didaftarkan sebagai nama kepada pemohon," kata SPR dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, SPR telah mengambil tindakan serta-merta dan membuat pembetulan kepada maklumat pengundi iaitu nama pengundi itu selepas memyedari kesilapan tersebut, kata kenyataan tersebut.
SPR mengulas laporan media hari ini yang memetik Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat bahawa perkara itu dikesan dalam Daftar Pemilih SPR.
Suhaizan antara lain dilapor berkata pemilih bernama 'Kg Baru' itu memiliki nombor kad pengenalan individu bernama Noraini Binti Abdullah.
Mengenai pengundi hantu 'Farhana Abdul Rashid' yang didakwa Suhaizan, SPR berkata nama itu wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Melalui 'Agency Link-up System (ALIS) dengan JPN, SPR mendapati nama pengundi itu memang wujud dalam rekod JPN sebagai warganegara dan pendaftaran adalah sah, kata kenyataan itu.
Berhubung bayaran RM10 bagi setiap bantahan, SPR menjelaskan perkara itu tertakluk kepada peraturan undang-undang khususnya subperaturan 15(4) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
- Bernama