Sejumlah 2,000 kes membabitkan warga asing dengan satu biometrik tetapi mempunyai lebih daripada dua dokumen, dikesan Jabatan Imigresen sejak 1 Jun lalu di 69 pintu masuk di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, senarai itu kini dalam pemerhatian dan jabatan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti mereka.
"Ia mungkin disebabkan daripada beberapa punca, satu mungkin mereka tukar pasport baru kerana pasport lama hampir tamat dan kemudian masuk balik guna pasport baru,” katanya pada satu sesi taklimat kepada media di Putrajaya hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan dengan teliti dan tidak mahu terburu-buru mengambil sebarang tindakan.
"Kita nak lihat sama ada mereka terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah atau tidak, mungkin ada yang terlibat dengan penyeludupan, pemerdagangan orang atau pun jenayah merentasi sempadan," katanya.
Alias berkata, sekiranya siasatan mendapati ada sebarang perkara yang mencurigakan, mereka akan ditahan sebaik sahaja masuk kembali ke negara ini.
Sistem biometrik mula diperkenalkan pada 1 Jun lalu, bertujuan untuk mengekang kegiatan jenayah merentasi sempadan melibatkan warga asing.
- Bernama