Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya politik kepartian tidak dicampur adukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (Unisel) demi masa depan pelajar institusi itu.
Para profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid Unisel Kampus Bestari Jaya di Kuala Selangor, malam semalam.
Baginda bertitah adalah amat merugikan sekiranya seseorang pelajar itu membuang masa untuk berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik.
"Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.
"Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini, titah Baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda telah menerima pengaduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di Unisel dan jika ini berterusan, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak akan menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti ini.
"Beta telah dimaklumkan bahawa terdapat pergolakan di dalam pengurusan Unisel tetapi Beta berangkat juga ke Unisel pada hari ini kerana merasmikan Masjid Unisel dan berjumpa dengan penuntut-penuntut di sini," titah Baginda.
Sekiranya politik dalam kampus terus berlaku, ia akan menjadi satu kerugian kepada universiti ini dan juga kawasan Bestari Jaya kerana industri sokongan tidak dapat berkembang dan dikhuatiri universiti ini akan menjadi projek Gajah Putih nanti, titah Baginda.
Sehubungan itu, baginda mahu semua pihak pengurusan tertinggi Unisel termasuk dekan dan pensyarah institusi itu supaya sentiasa bersepakat menaikkan taraf Unisel sebagai sebuah universiti yang terbaik daripada segi teknologi, operasi dan pengurusan kewangannya.
Baginda percaya dengan persefahaman dan kerjasama erat di peringkat dalaman, Unisel akan menjadi satu institusi pengajian yang terunggul dan berkualiti yang diiktiraf di peringkat negeri, negara dan seterusnya antarabangsa.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
- Bernama