Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kesal dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya bersifat 'apologetik' berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara (DUMC).
Dalam satu kenyataan, pengerusi PEMBELA, Dr Yusri Mohamad membantah sekeras-kerasnya campurtangan politik dalam hal ehwal Islam dan menggesa supaya JAIS diberi kebebasan dalam menjalankan tugasnya.
"Kenyataan menteri besar Selangor yang bersifat “apologetik” amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan.
"Begitu juga, kenyataan beberapa pemimpin politik yang bukan beragama Islam, menghiris hati dan perasaan umat Islam serta menggambarkan seolah-olah agama Islam tidak bertempat di negara ini," katanya.
Kenyataan mereka, kata Yusri, hanya menambah kekeliruan dan mewujudkan prasangka yang menajam di kalangan umat Islam dan bukan Islam.
"Adalah lebih baik sekiranya pihak JAIS dan mana-mana pihak berkuasa agama negeri-negeri, diberi kebebasan menjalankan tugas selagi tidak melanggar lunas serta batas undang-undang yang diperuntukkan," tambahnya.
PEMBELA juga mempertahankan tindakan JAIS itu dengan menegaskan bahawa pegawai jabatan itu memasuki premis berkenaan secara baik.
Oleh itu, kata Yusri, PEMBELA membantah "kenyataan-kenyataan fitnah terhadap pasuka penguatkuasa JAIS kononnya berlaku 'storm;, 'raid' dan 'barge' serta tindakan seumpamanya, sedangkan pada hakikatnya mereka terlebih dahulu berunding dengan penganjur lebih sejam sebelum melaksanakan pemeriksaan".
Yusri juga menuntut pihak berkuasa keselamatan supaya menyekat tindakan provokasi agama yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara terancang untuk menghakis kedaulatan Islam sebagai agama negara.
"Ini termasuklah peranan mana-mana media yang menggunakan istilah yang tidak tepat mengenai gambaran kejadian yang berlaku, serta komen-komen yang ternyata tidak membantu dalam mencari keadilan dan menjernihkan suasana harmoni yang sedia wujud di kalangan seluruh masyarakat Malaysia," tegas Yusri lagi.