Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dukacita kerana undangan rasmi jawatankuasa fatwa Perlis kepada penceramah popular - Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang dikata mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme - untuk berdialog telah ditolak.
“Saya amat dukacita sebab Uthman El-Muhammady tolak jemputan rasmi untuk dialog secara harmoni mengenai 'kesesatan' dan 'keganasan' Arab Saudi yang beliau dakwakan.
“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan 'ahli akademik' takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi-buta,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini .
Menurut Dr Juanda ( atas, kiri ), isu ini amat penting dan mendesak untuk diselesaikan memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi dengan kerajaan Arab Saudi.
“Pihak di sana tentu tertanya tanya kenapakah mereka dituduh sedemikian rupa melalui premis rasmi kerajaan sedangkan kerajaan Malaysia sering mewar-warkan mendapat kedudukan hubungsn paling istimewa dengan Arab Saudi berbanding negara yang lain,” katanya.
Justeru, Dr Juanda berharap Dr Uthman ( kiri ) tidak menolak ajakan dialog itu begitu sahaja.
Pada akhir bulan Julai lalu, kerajaan Perlis menghantar undangan rasmi bertulis kepada felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) itu setelah diputuskan mesyuarat anggota jawatankuasa fatwanya.
Dr Juanda berkata beliau berharap dialog dapat diadakan dalam Ramadan kerana ia bulan yang berkat dan menurut hadis Nabi, syaitan dirantai sepanjang bulan itu.
Kontroversi timbul pada 25 Julai lalu apabila pada taklimat tertutup Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.
Berdolak dalih
Taklimat itu juga mendakwa Arab Saudi sebagai dalang di sebalik jaringan itu.
MKN kemudiannya menafikan melabelkan mana-mana ulama sebagai Wahabi dan pengganas dalam taklimat anjurannya.
Setiausahanya Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, apa yang dilabelkan adalah tafsiran peribadi pembentang dan bukan pandangan MKN.
Menurut Dr Juanda, tidak perlu pihak yang membuat dakwaan berdolak dalih dengan memberikan pelbagai alasan kerana pihaknya memang sanggup bersemuka untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul.
“Kami sentiasa sedia menunggu beliau hadir untuk dialog ini untuk mendengar hujah-hujah beliau.
“Mereka yang dituduh juga ingin dengar tuduhan daripada mulut beliau sendiri terlebih lagi jika dialog ini diadakan di hadapan pihak MKN dan dan pihak lain yang terlibat agar mereka berpeluang menjelaskan kedudukan sebenar perkara yang dituduh itu, terutama (mengenai) kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Menurut Dr Juanda, umat Islam wajar didedahkan dengan semangat demokrasi terbuka yang memberi ruang kepada mereka membela diri secara terbuka dan bertamadun apabila dituduh.
Semangat demokrasi
“Umat Islam di Malaysia wajar didedahkan dengan semangat demokrasi terbuka yang memberi ruang kepada semua manusia membela diri secara terbuka dan bertamadun apabila dituduh dengan tuduhan yang amat tidak masuk akal akibat dangkalnya kajian dan penelitian pihak tertentu.
“Adalah amat malang bagi Malaysia jika mereka yang dirujuk ada kepentingan peribadi dan kecelaruan minda dalam menilai sesuatu perkara akibat kesan idea asal mereka yang sememangnya diketahui adalah masalah yang ramai pihak mengetahuinya,” katanya.
Beliau juga berkata zaman untuk menggunakan kuasa secara membabi buta tanpa berdasarkan fakta perundangan dan keadilan sejati sudah berakhir.
“(Sebaliknya) pihak yang suka menyalahgunakan kuasa dan premis pihak berkuasa wajar disiasat apabila mereka didapati suka menghasut untuk mendatangkan ketidak-stabilan dalam negara ini,” katanya.
Kes Kampung Tal Tujuh
Mengulas lanjut dakwaan pengganas, Dr Juanda juga mengingatkan pensyarah itu berhubung ajaran meragukan di Kampung Tal Tujuh, di sebuah perkampungan di Pasir Mas, Kelantan yang suatu ketika dahulu pernah dikaitkan dengan dirinya itu.
Laporan di laman web rasmi Majlis Fatwa memaparkan wawancara dengan Dr Uthman yang mengakui menjadi anggota Kumpulan Tal Tujuh tetapi telah keluar “bukan kerana krisis peribadi tetapi atas sebab kepentingan akidah, rohani, hukum sosial dan seumpamanya.
“Saya suka syorkan pihak Jakim buka balik kajian terhadap status Kampung Tal 7 yang sehingga kini masih tergantung setelah puluhan tahun kertas kajian dibuat dan dibincang tanpa kata pemutus yang dikatakan ada uhbungan dengan beberapa individu tertentu di Malaysia.
“Orang Kelantan ramai tahu hal ini dan Jabatan Agama Islam Kelantan amat arif tentang perkara ini. Ia dibimbangi masih mempengaruhi idea dan pemikiran sesetengah pihak memandangkan gaya penampilan dan idea masih mempunyai pengaruh kuat pada diri beberapa tokoh tertentu. Ini penting untuk keselamatan negara kita,” kata Dr Juanda lagi.