JAIS perlu meneruskan siasatannya jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam, kata NGO Islam Ikatan Muslimin Malaysia.
Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman ( kiri ) berkata, pihak-pihak lain diharapkan tidak mempolitikkan serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya kerana ia boleh mengganggu siasatan.
“ISMA mahu JAIS meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas JAIS dan undang-undang.
"Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Abdullah Zaik.
Dalam kenyatannya hari ini, ISMA juga mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal didakwa cuba memberi imej negatif seolah-olah JAIS menceroboh kesucian rumah ibadat dan tidak beretika.
“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.
Abdullah Zaik juga menyatakan kebimbangannya terhadap toleransi yang berlebihan - antaranya atas faktor politik - kerana ia membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam walaupun "kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata".
"Gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.
"Sebagai umat Islam, perbuatan ini sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam," katanya lagi.
ISMA bagaimanapun menegaskan mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara berbilang bangsa tetapi "bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan maruah bangsa".