Presiden Majlis Gereja Malaysia Thomas Philip hari ini menyangkal dakwaan bahawa kumpulan Kristian menggunakan kerja-kerja kebajikan untuk mendorong orang ramai menganut agamanya.
Bercakap kepada Malaysiakini , Thomas ( bawah ) berkata orang Kristian bertanggungjawab menolong pihak yang memerlukan tanpa mengenakan sebarang syarat kepada penerima.
Menurutnya, agama lain juga mengajar perkara yang sama.
Katanya, orang Kristian sudah "jemu" dan "bingung" dengan dakwaan berterusan sedangkan perbuatan baik harus "dihargai" bukan "dicurigai".
"Dakwaan sebegini sudah berjalan untuk beberapa waktu. Provokasi yang tidak diperlukan ini sungguh membingungkan.
"Perdana menteri harus ke depan untuk mencari puncanya kerana dakwaan sebegini berterusan muncul kembali, sedangkan ia isu sensitif yang menyebabkan orang ramai berpecah belah. Ia tidak baik untuk negara," katanya.