Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat'
Diterbitkan:  Aug 6, 2011 6:52 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

"Kembalilah ke pangkal jalan sebelum kamu terlambat kerana kamu masih punya masa untuk berbuat demikian," demikian kata seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen yang dibebaskan daripada tahanan di bawah akta ISA semalam.

Nasihat lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditujukan kepada rakan lain agar berhenti melakukan perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau adalah seorang daripada lapan bekas pegawai Jabatan Imigresen yang dibebaskan secara berperingkat mulai Selasa lalu dan semalam.

Mereka ditahan tahun lepas kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia di negara ini.

Lelaki itu berkata penahanan tersebut memberi keinsafan dan pengajaran berguna kepadanya.

"Kalau ada yang masih buat perkara itu, saya nasihat sangatlah jangan lakukan kerana akhirnya akan merugikan diri kita sendiri, dan fikirlah kepada keluarga sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pasir Mas hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Komisioner Kanan Penjara Bahagian Dasar Kepenjaraan Ibu Pejabat Penjara Supri Hashim dan Pengarah Parol Kelantan Mat Yacob, selain isteri lelaki itu serta anggota keluarganya yang lain.

Lelaki itu turut melahirkan kesyukuran atas pembebasannya dan berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Tak dapat saya nak gambarkan perasaan bila dibebaskan itu kerana akhirnya dapat bertemu seluruh anggota keluarga," katanya yang menambah semasa ditahan, dia menghabiskan masa dengan membaca antara empat hingga lima buku sehari.

"Rupa-rupanya ISA tidak seperti yang saya gambarkan kerana semasa dalam tahanan kami dilayan dengan begitu baik sekali, dengan diberi makanan yang sangat baik serta pada bila-bila masa boleh mendapatkan rawatan kesihatan," katanya.

Dia berkata banyak pengisian yang diatur dan beberapa program motivasi yang disertai akhirnya memberikan keinsafan.

Lelaki itu berkata dia sama sekali tidak pernah didera secara mental atau fizikal seperti yang digambarkan sebelum ini, dan berharap tidak ada mana-mana pihak mengeksploitasi ISA dengan kekejaman pihak berkuasa.

"Itu tidak betul sama sekali, malah bagi saya, ISA perlu diteruskan demi keamanan dan keselamatan negara pada masa depan," katanya yang berkhidmat dengan Jabatan Imigresen lebih 30 tahun.

Ketika ditanya apa yang akan dilakukan selepas ini, katanya kini dia mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan akan memulakan perniagaan selepas itu.

Sementara itu, isterinya yang berusia lingkungan 40-an berkata seluruh keluarga berasa sangat gembira dengan pembebasan lelaki itu dan berharap mereka dapat membina hidup baru selepas ini.

"Saya takut juga mula-mula dia dimasukkan dalam ISA, tetapi selepas lawatan beberapa kali, rupanya dia dijaga dengan sangat baik di pusat tahanan itu, dan saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan penjara," katanya yang menambah kasih sayang terhadap suami tidak pernah pudar dan akan menyokong apa sahaja yang dilakukan lelaki itu selepas ini.

Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS