Semua pihak digesa tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak dalam menangani isu serbuan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Petaling Jaya.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Selangor Khairudin Abas berkata, sewajibnya perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran.
"Mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti ini amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat," katanya tanpa merujuk secara langsung pada mana-mana pihak.
Kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan menyerbu majlis makan malam yang di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).
Ketika kontroversi itu mulai panas, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan larangan supaya semua anggota exco negeri tutup mulut.
Beliau juga akan mengadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat dan mempersembahkan laporan daripada JAIS berhubung tindakan mereka itu.
Dalam kenyataannya semalam, Khairudin juga mengingatkan bahawa institusi penguatkuasaan yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukan berlandaskan undang-undang.
"ABIM Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.
"Justeru, sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini," katanya.
Kharudin berkata, ABIM Selangor juga kesal dengan laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja dan sekatan Injil Bahasa Melayu sebelum ini.
Menurutnya lagi, tindakan itu seolah-olah membangkitkan kembali rasa "ketidakselesaan beragama" dalam masyarakat.
"ABIM Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan," katanya.