Penjelasan oleh Jabatan Pendaftaran Negara berhubung status kewarganegaraan seorang bakal pengundi yang dilaporkan sebelum ini tidak menyentuh mengenai kebimbangan orang ramai, kata pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Oleh sebab itu, beliau menyokong seruan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk mengadakan sidang tergempar parlimen pada bulan ini bagi mendapatkan penjelasan kepada persoalan yang ditimbulkan berhubung skandal berkenaan.
"Kita belum lagi mendapat jawapan bermakna... Perlu ada kebertanggungjawaban dalam isu ini," kata Ambiga dalam satu wawancara dengan Malaysiakini semalam.
Katanya lagi, jawapan yang diberikan kepada BERSIH 2.0 setakat ini sangat tidak boleh diterima.
Ketua pengarah JPN, Jariah Mohd Said dalam penjelasannya sebelum ini berkata, nama Mismah yang ditemui dalam draf daftar pemilih terbaru itu diberikan taraf penduduk tetap pada 17 Julai, 1982 dan kemudiannya diberikan taraf kerakyatan pada 31 Januari 2011.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak dapat menjelaskan bagaimana sistem pengesahan JPN mengkategorikan Mismah sebagai penduduk tetap pada pagi Selasa, tetapi status tersebut ditukar kepada taraf kerakyatan hanya empat jam selepas laporan Malaysiakini disiarkan.
Jariah juga tidak menjelaskan dakwaan yang dikemukakan oleh PAS bahawa terdapat sebanyak 1,587 kes seperti itu yang dikesan di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Ambiga berkata BERSIH 2.0 turut menerima aduan sama tetapi ia tidak dibuktikan sebelum Malaysiakini membuat pendedahan berkenaan.