Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak dakwaan terdapat rancangan bagi menggantikannya dengan pemimpin senior Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ketua pembangkang baru.
Sambil tersenyum, Anwar ( kiri ) berkata beliau sendiri tidak mendengar berhubung perkara itu daripada mana-mana pemimpin Pakatan.
"Saya tidak dengar perkara ini daripada mana-mana pemimpin PAS atau DAP... mungkin ia hanya dari Bayan Baru," katanya merujuk kepada pemimpin konsensus bebas Zahrain Mohd Hashim.
Sementara itu, dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga mengetepikan dakwaan itu sambil menjelaskan bahawa Razaleigh tidak benar-benar di pihak pembangkang.
"Tengku Razaleigh tidak pernah menjadi ketua pembangkang, dia dalam (parti Melayu Semangat) 46. Semangat 46 pecahan daripada Umno. Dia tak pernah di luar dan kemudiannya kembali (pada Umno).
"Sesetengah daripada anggota Semangat 46 kata tidak pernah ditanya (tentang kembali kepada Umno), dia hanya kembali tiba-tiba," katanya.