Beberapa jam selepas dibebaskan daripada tahanan mengikut Ordinan Darurat semalam, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar berkata beliau khuatir polis akan memerangkapnya dan rakan-rakan lain supaya dapat menahan mereka secara berterusan.
"Apabila kita beri kenyataan kepada polis, mereka tanya kami mengenai lawatan luar negara kami. Saya pernah ke Senegal (untuk) Forum Sosial Dunia, ke Australia (untuk) Perikatan Sosialis Dunia dan M Saraswathy pula pernah ke Vietnam.
"I bimbang mereka akan kaitkan - Parti Komunis Vietnam, Parti Komunis Senegal, saya fikir mereka berusaha ke arah itu untuk memerangkap kami.
"Saya amat takut mereka akan menggunakan alasan itu bagi menggerunkan rakyat Malaysia, (bagi berkata) oh ada plot komunis dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan nasib baik kita sudah berjaya tangkap orang-orang ini,” katanya.
Jeyakumar yang diiringi bapanya, Dr T Devaraj bercakap kepada Malaysiakini malam semalam selepas menghadiri majlis menyambut pembebasannya dan lima yang lain di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).
Menurut Jeyakumar, meskipun secara fizikal, beliau dilayan dengan baik, namun kurungan berseorangan menimbulkan ketakutan di dalam dirinya tetapi beliau bertekad untuk bertahan.
"Saya amat takut mereka akan mencipta cerita (seperti cuba lancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong) dan gunakan alasan itu untuk menangkap orang lain atau membatalkan pendaftaran parti. Saya juga bimbang mereka akan tahan saya untuk dua tahun, saya cukup tertekan kerana tidak ada hubungan dengan dunia luar...
"Pada sebelah petang, saya buat senaman ringan (di dalam sel) dan apabila berjumpa IO (pegawai penyiasat), saya akan memikirkan soalan (di minda saya), (cuba memikirkan) ke arah mana yang mereka cuba menghala,” katanya.
Mata ditutup, tangan digari
Menceritakan kehidupan seharian mereka selama 28 hari dalam kurungan, Jeyakumar berkata selain perjumpaan dengan polis untuk disoal-siasat dan pembantu perubatan untuk rawatan kesihatannya, tidak banyak yang boleh dilakukan.
"Kami bersarapan pada jam 7.30 pagi, (mereka beri kami) roti dan teh-O dan kira-kira 30 minit kemudian, kami dibawa berjumpa dengan pembantu perubatan untuk diperiksa tekanan darah dan diberi keperluan perubatan kami.
"Setiap kali kami dibawa keluar, mata saya ditutup dan digari - setiap hari. Malah ketika dibawa ke klinik, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang tuju, hanya selepas sampai di klinik, penutup mata akan dibuka.
“Selepas itu, antara jam 9.30 dan 11.30 pagi, IO akan datang, ada kala pagi, petang dan kadang-kadang dia langsung tidak datang dan ada hari pula dia datang dua kali sehari.
"Selepas IO selesai, kami dibawa semula ke sel (untuk makan tengahari). Makanannya bagus, kami diberi nasi putih dengan ayam atau ikan. Pada jam 2 hingga 2.30 petang, kami dibawa semula berjumpa IO dan kembali semula ke sel pada jam 5.30 petang,” katanya.
Di sebalik pengalaman ngeri itu, Jeyakumar berkata beliau tidak gentar dengan penahanan itu dan label komunis yang cuba dikaitkan dengan dirinya. Katanya, beliau masih teguh pendirian dan kerja-kerjanya dengan PSM.
Momokan
"Ini momokan (kerajaan). Bila kami bentuk parti ini (PSM) kerana berpendapat perlu ada kumpulan yang memperjuangkan masalah rakyat Malaysia yang ada kalanya dipinggirkan kerana tekanan pembangunan.
“Ketika itu, kami bekerja di sektor estet, banyak pembangunan (berlaku) dan ramai orang yang diberhentikan kerja dengan pampasan kecil (dan) tiada rumah yang sewajarnya, jadi mereka dirikan kawasan setinggan. Beberapa tahun kemudian, apabila kawasan itu dibangunkan, mereka dihalau keluar.
"Kami menjadi parti sosialis bukan kerana teori bahawa kami akan belajar mengenai komunisme dan berkata ia idea yang baik. Kami melihat apa yang berlaku pada peringkat akar umbi, dan perlu membela golongan terpinggir ini.
"Dan apabila kami memperjuangkan isu itu dan mengketengahkannya, kami kemudiannya sedari ia terletak di bawah sosialisme,” katanya.