Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam menafikan melabelkan mana-mana ulama sebagai Wahabi dan pengganas dalam taklimat anjurannya di Putrajaya baru-baru ini.
Setiausahanya Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ( bawah ) berkata, apa yang dilabelkan adalah tafsiran peribadi pembentang dan bukan pandangan MKN, lapor Umno Online.
“Kita tidak melabelkan sesiapa.
"Ia adalah taklimat biasa secara tertutup dan dihadiri 30 orang dan ia lebih kepada perbincangan akademik, cenderung untuk lebih memahami sesuatu perkara,” beliau dipetik sebagai berkata.
Malaysiakini Isnin lalu melaporkan MKN menimbulkan kebimbangannya terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan terorisme.
Turut terkait sama mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan 40 ulama muda Umno yang menyertai parti itu lebih setahun lalu.
Bercakap kepada akhbar dalam talian milik Umno itu kelmarin,Thajudeen juga berkata, perbincangan dalam majlis itu turut menyentuh keadaan politik Timur Tengah yang membabitkan beberapa negara.
Malaysiakini difahamkan, salah seorang pembentang dalam majlis itu penceramah terkenal Dr Uthman El-Muhammady yang juga felo di Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) Kuala Lumpur.