Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan bertemu dengan beberapa agensi kerajaan untuk membincangkan cadangan terbaik bagi membantu pelayan pelanggan (GRO) beragama Islam apabila larangan mereka bekerja di semua pusat hiburan di bandar itu, dikuatkuasakan tahun depan.
Pegawai Perhubungan Awam MPK Haslinda Hassan berkata perkara tersebut ada dibangkitkan dalam mesyuarat majlis berkenaan kelmarin, yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob.
Sehubungan itu, katanya MPK akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi kerajaan bagi membincangkan hal itu selepas pihak berkuasa tempatan itu melarang wanita Islam menjadi GRO berkuatkuasa tahun hadapan.
"Kita cuba membantu dengan memberi peluang kepada mereka untuk berniaga. Kita akan memanggil Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
"Majlis Perbandaran Kuantan boleh membantu dari segi memberi ruang berniaga dan lesen untuk berniaga," katanya sambil mendakwa dianggarkan 300 hingga 400 orang GRO terlibat dengan larangan baru itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Haslinda berkata mesyuarat tersebut dijangka diadakan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.
RM2,000 sebulan
Kelmarin Zulkifli dilapor berkata keputusan larangan tersebut diluluskan dalam mesyuarat MPK dan tarikh penguatkuasaannya akan ditetapkan nanti.
Katanya, semua ahli majlis MPK bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini dan hasil kajian mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu.
Mengulas lanjut, Haslinda berkata salah satu cadangannya akan diadakan taklimat atau dialog dengan para GRO sebagai usaha menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi mereka.
Sebanyak 124 premis pusat hiburan yang beroperasi di bandar Kuantan yang beroperasi sehingga jam 12 tengah malam pada hari biasa dan 1 pagi pada hujung minggu, tambahnya.
Dilaporkan GRO yang bekerja di pusat hiburan secara sepenuh masa memperolehi pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan.
Sementara itu, menjawab soalan berhubung operasi pusat hiburan pada bulan Ramadan, Haslinda berkata operasi pusat hiburan berjalan seperti biasa kerana mengambilkira hak bukan Islam dan pelancong.
Haslinda bagaimanapun menegaskan pihaknya mengenakan kompaun terhadap pengusaha pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen atau melebihi waktu yang ditetapkan.