Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beberapa NGO Islam mahu penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady - yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme - menerima undangan dialog kerajaan Perlis berhubung perkara itu.

Rata-rata mereka berpandangan, tindakan itu merupakan kaedah terbaik bagi menyelesaikan perbalahan yang tidak kunjung selesai sejak dari dahulu lagi.

NONE "Sebarang dialog dan perbincangan yang sihat amat dialu-alukan. Ia sebenarnya merupakan amalan dan praktis baru dalam sesebuah masyarakat madani," kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Amidi Abdul Hamid ( kiri ).

Beliau mencadangkan, majlis itu elok diadakan secara tertutup antara pihak terlibat kerana perbincangan mendalam dan terlalu ilmiah mungkin lebih mengelirukan orang awam yang hadir menyaksikannya.

"Bagaimanapun, sekiranya ia melibatkan kepentingan umum, ia boleh disesuaikan (untuk dibuka kepada umum). Apa pun keputusan yang keluar nanti, hendaklah menambahkan keyakinan pada ulama dan ajaran Islam," katanya.

Kerajaan negeri Perlis melalui jawatankuasa fatwanya semalam mengeluarkan undangan rasmi kepada Dr Uthman apabila mufti dan institusi agamanya sendiri dikaitkan sekali dalam taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya Isnin lalu.

Malaysiakini

difahamkan, turut dikaitkan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno manakala Arab Saudi didakwa sebagai dalang di belakangnya.

Sangsi hadir

ijok election phantom voters 280407 syed ibrahim syed noh Sementara itu, Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM) secara dasarnya bersetuju dengan penganjuran dialog itu kerana label teroris yang didakwa itu "terlalu berat" dan "sangat liar".

"Eloklah beri penjelasan. Dan dia (Dr Uthman) juga mesti minta maaf secara terbuka jika dakwaan yang dibuat didapati tidak benar," katanya timbalan presidennya Syed Ibrahim Syed Noh.

Bagaimanapun, bagi tokoh agama veteren Perlis Prof Madya Datuk Ahmad Jusoh yang puluhan tahun dilabelkan Wahabi, beliau sangsi Dr Uthman akan menerima undangan rasmi itu.

"Tidak tahulah dia akan datang atau tidak. Dulu pun kita pernah jemput, beberapa tahun lalu tetapi tidak hadir," katanya yang kini bertugas sebagai timbalan rektor di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).

NONE Bagaimanapun, tambahnya, perbincangan memang merupakan kaedah penyelesaian yang baik kerana Tuanku Raja Perlis sendiri juga pernah menitahkan supaya mana-mana pihak yang tidak puas hati datang dan berbincang di negeri itu.

Ahmad ( kanan ) yang juga bekas pemimpin Persatuan Islah Perlis berkata, berdasarkan situasi politik antarabangsa, sesuatu aliran itu tidak boleh dikaitkan dengan aktiviti terorisme.

"Kalau kita tengok di Arab, al-Qaeda orang kata Wahabi. Kerajaan Arab Saudi pun dikatakan Wahabi. Tetapi al-Qaeda anti-Amerika (dan dilabel teroris) dan Arab Saudi pro-Amerika," jelasnya yang lebih dikenali sebagai Ahmad Libya itu.

Persatuan Islah Perlis antara gerakan terawal - sejak awal merdeka - bagi mempromosikan idea pemurnian agama daripada bidaah dan khurafat.

Sejak itu, NGO ini sentiasa dikaitkan dengan ajaran Wahabi walaupun mereka sering menafikannya dan mendakwa mengikut aliran Salafi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS