Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hampir 300,000 pengundi baru daftar dalam tiga bulan
Diterbitkan:  Jul 28, 2011 7:59 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan 290,665 pengundi baru bagi tempoh April hingga Jun lalu, selain 77,708 pemilih yang bertukar alamat pusat mengundi.

SPR dalam satu kenyataan hari ini berkata, senarai itu yang dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2011 kini dipamerkan di 877 tempat di seluruh negara.

    

Lokasi terbabit meliputi pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos berkomputer, kompleks atau pejabat kerajaan, pejabat daerah atau pejabat tanah, majlis daerah atau perbandaran, dewan serba guna atau rukun tetangga, balai raya, pejabat penghulu dan dewan orang ramai.

    

Mereka yang baru mendaftar sebagai pemilih atau memohon pertukaran alamat pusat mengundi diminta menyemak daftar tersebut, kata kenyataan itu.

Mereka yang namanya tidak tersenarai boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B dan menyerahkannya kepada pengarah pilihan raya negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh daftar dipamerkan.

    

SPR juga akan mempamerkan nama pemilih yang dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis.

    

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh hubungi talian 03-88856500 atau faks di 03-88889117 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau layari lamanweb SPR di www.spr.gov.my.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS