Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sejak Gagasan 1Malaysia diperkenalkan, ia berjaya meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional di kalangan rakyat negara ini yang berbilang keturunan, agama serta budaya.
"Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia berpindah daripada konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Konsep toleransi tak begitu bermakna... kalau kita berganjak kepada konsep penerimaan dapat kukuhkan perpaduan nasional," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa 1 di Jalan Kuala Kedah dekat Alor Setar serta sambutan 100 tahun penubuhan sekolah tersebut.
Najib tiba pagi ini untuk melakukan lawatan kerja sehari ke Kedah.
Bercakap kepada Bernama , katanya, kerajaan mengamalkan dasar yang begitu tepat sekali untuk kepentingan Malaysia dan membina sebuah negara bangsa yang berjaya dan semakin hari semakin tinggi kejayaan serta pencapaiannya.
"Salah satu keputusan yang mencerminkan sikap kita yang terbaik dan liberal adalah dengan memberi peluang dan ruang kepada ibu bapa di negara ini memilih jenis sekolah dan aliran yang hendak dihantar anak-anak mereka.
"Ia sesuatu keputusan yang dibuat pengasas-pengasas negara kita sejak negara merdeka... pemimpin-pemimpin Perikatan pada masa itu telah buat keputusan itu. Pemimpin parti lain menentang keputusan tersebut," katanya.
Beliau berkata pemimpin-pemimpin Perikatan faham bahawa cara itu amat sesuai apabila memberi kebebasan dan bersikap terbuka serta liberal terlebih dahulu daripada pihak lain, dan kerana itu lahirlah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dalam negara ini.
"Kerajaan mengekalkan sekolah-sekolah yang patuh (mengikut) kurikulum sekolah kebangsaan atau sekolah persendirian Cina yang masih wujud hingga sekarang. Tiada negara lain di dunia yang amalkan sikap terbuka seperti ini.
"Jangan kita buta sejarah dan jangan tak kenang budi. Ini sejarahnya yang kita warisi sehingga hari ini. Kalau pemimpin-pemimpin Perikatan dulu tak buat keputusan ini takkan ada sekolah Cina hari ini. Jangan jadi bangsa yang buta sejarah dan tak kenang budi," katanya.
Beliau berkata Malaysia mengamalkan demokrasi sejak dulu dan mana-mana pihak yang mendakwa memperjuangkan demokrasi, golongan itu sebenarnya menafikan demokrasi yang dilaksanakan oleh pemimpin yang melahirkan sekolah jenis kebangsaan.
"Dia buta sejarah kerana (demokrasi) dah dibuat oleh pemimpin terdahulu. Kita mahu baiki sistem demokrasi kita tetapi jangan sampai menafikan tak wujud demokrasi di negara kita," katanya.
Sehubungan itu, perdana menteri meminta rakyat di negara ini beralih daripada amalan toleransi kepada amalan penerimaan yang mampu mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat negara ini.
"Dalam amalan toleransi ada lagi tembok-tembok pemisah dan ada rasa tidak sama antara kita."
Katanya berbanding amalan penerimaan, ia adalah meraikan kepelbagaian antara rakyat dan menggunakan kekuatan semua tanpa mengira kaum.
"Ia satu kekuatan untuk negara kita. Seperti bermain bola sepak, kita daripada pelbagai kaum akan membantu sesama sendiri memastikan pasukan kita berjaya.
"Kalau satu posisi score gol sendiri pasti akan kalah, nilai ini amat penting bagi kita tidak kira apa warna kulit dan rupa kita," katanya.