Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini cuma ketawa apabila diajukan soalan tentang beberapa tokoh ulama Islam yang dikaitkan dengan Wahabi dan terorisme.

"Macamlah juga enam orang yang ditahan (atas alasan) hendak menggulingkan Yang di-Pertuan Agong. Itu semua cerita rekaan semata-mata. Tak ada apa-apa pun.

NONE "Ini cuma propaganda menjelang pilihan raya dalam keadaan Umno dan BN tersepit sekarang, terutama sekali imej mereka di peringkat antarabangsa (terjejas)," dakwanya yang terus tersenyum.

Hadir sama dalam sesi itu Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan tiga naib presiden PAS - Datuk Mahmuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Malaysiakini semalam melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bimbang terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme.

Difahamkan, taklimat tertutup MKN yang antaranya disertai mufti dan wakil majlis agama Islam negeri di Putrajaya, seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan sama.

Semangat keislaman

Sumber-sumber juga mengaitkan kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara teluk seperti Kuwait dan Bahrain dengan jaringan itu.

NONE Sementara itu, Mahfuz ( kiri ) pula berpendapat, dakwaan tersebut perlulah dipandang serius kerana ia boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara-negara tersebut yang berkongsi "semangat keislaman".

"Atas semangat keislaman, perkara ini tidak baik," katanya yang juga anggota parlimen Pokok Sena.

Manakala Husam pula sempat menyampuk" "Bukan (dengan) Arab Saudi sahaja. Tetapi dengan tiga negara sekali gus. Sudahlah kita dah bergaduh dengan Perancis."

Pada 22 Julai, peguam Perancis William Bourdon, yang berada di Pulau Pinang untuk bercakap tentang urusniaga pembelian kapal selam Scorpene dihantar pulang selepas ditahan pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Mustafa pula mengumumkan keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat PAS hari ini yang melantik ketiga-tiga naib presiden PAS sebagai penyelaras parlimen Titiwangsa ekoran kematian wakil rakyatnya Dr Lo' Lo' Ghazali.

"Titiwangsa juga akan dijadikan parlimen angkat PAS pusat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS