Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham kata siasatan belum selesai
Diterbitkan:  Jul 25, 2011 9:29 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata siasatan polis berhubung perhimpunan 9 Julai lepas belum selesai.

    

Beliau berkata sebarang tindakan susulan berhubung kes berkenaan bergantung kepada hasil siasatan penuh kejadian itu yang dilakukan enam jawatankuasa khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    

"Siasatan belum selesai.

"Yang salah tetap akan didakwa tapi pendakwaan bergantung kepada Peguam Negara selepas meneliti bukti dan siasatan PDRM termasuk klip video (mengenai perhimpunan itu)," katanya dalam khidmat SMS kepada Bernama  hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis telah melengkapkan siasatan kes itu dengan penayangan video mengenai perhimpunan haram terbabit baru-baru ini.

    

Hishammuddin berkata penayangan video itu kepada media dan orang awam hanyalah sebahagian daripada siasatan dan ada lagi yang akan didedahkan.

Baru-baru ini polis menyiarkan rakaman video kepada media dan orang awam yang antara lain menunjukkan tindakan polis dalam menyuraikan perhimpunan haram itu.

    

Sementara itu, ditanya mengenai penghantaran pulang peguam rakyat Perancis, William Bourdon ketika peguam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lepas, Hishammuddin berkata: "Dia melanggar syarat tourist visanya.

    

"Itu sahaja sebab kenapa dia dihantar balik dan tiada kaitan dengan isu politik".

    

Bourdon dilapor berada di Pulau Pinang Khamis lepas untuk majlis penerangan mengenai pembelian kapal selam Scorpene antara kerajaan Malaysia dengan firma pertahanan DCNS yang berpangkalan di Perancis.

    

Peguam terbabit ditahan Jabatan Imigresen di KLIA pada Jumaat dan dihantar pulang ke Paris pada hari yang sama.

    

Ditanya sama ada kehadiran peguam itu di negara ini mengancam keselamatan negara, Hishammuddin enggan mengulas.

    

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad ketika ditemui Bernama pada satu majlis di bandar raya ini berkata: "Ia ada kaitan dengan masalah visanya".

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS