Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Tiada lagi s'jaya kaji hasil siasatan kes TBH
Diterbitkan:  Jul 24, 2011 12:15 PM
Dikemaskini: Jul 25, 2011 1:12 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata tidak akan ditubuhkan satu lagi suruhanjaya semata-mata untuk memuaskan hati mereka yang tidak puashati dengan keputusan suruhanjaya diraja menyiasat  kematian Teoh Beng Hock.

"Pendedahan laporan suruhanjaya (diraja) kepada umum menutup kes kematian mendiang Teoh dan segalanya telah selesai," katanya dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.

"Itu memang tidak boleh dan tidak akan dilakukan. Melainkan ada ruang dibenarkan kepada mahkamah, yang mana mereka nak teruskan, teruskanlah," tambahnya.

Nazri berkata, tidak akan ada lagi satu suruhanjaya untuk kaji keputusan suruhanjaya yang lain.

"Kerajaan telah berbelanja berjuta ringgit untuk suruhanjaya ini dan itu adalah duit rakyat.

"Saya merayu kepada rakyat supaya menganggap episod ini ditutup dan telah selesai dengan keluarnya laporan suruhanjaya (diraja).

"Buatlah kerja-kerja yang boleh memajukan negara dan jangan terus dengan isu ini sehingga kita tidak boleh bergerak ke mana-mana," tambahnya.

Menurutnya, suruhanjaya tersebut dianggotai orang yang tinggi imej dan reputasi mereka.

"Mereka ada reputasi yang perlu dipelihara. TIdak mungkin mereka tunduk kepada tekanan untuk membuat sesuatu keputusan kerana takut atau pilih kasih.

"Kedua, ini di atas permintaan mereka (keluarga Beng Hock) dan bukannya kerajaan.

"Ketiga, tujuannya untuk mendapatkan kebenaran, bukannya memuaskan hati mana-mana pihak sama ada keluarga Beng Hock atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Nazri berkata, beliau percaya bukan sahaja keluarga mendiang Teoh tidak berpuashati, SPRM pun tidak berpuashati kerana banyak perkara dibangkitkan tentang aspek penyiasatan mereka.

"Yang penting kita tidak peduli sama ada masih ada pihak tidak berpuashati atau sebaliknya kerana tujuan mengadakan mengadakan suruhanjaya ini adalah untuk kebenaran bukan untuk memuaskan hati mana-mana pihak.

"Itu yang penting. Kalau masih ada pihak tidak berpuashati maka terpulang kepada mereka kerana bukan buat sesuatu untuk memuaskan hati sesiapa," tambahnya.

Nazri mengulangi bahawa Malaysia adalah negara bebas, "kalau mereka nak buat rayuan dan memang ada ruang di bawah undang-undang kita, buatlah, kita tak ada perkara yang ditakutkan".

"Soal tidak puashati blogger, pembangkang atau keluarga Beng Hock itu kita faham sangat sebab sepanjang dua tahun lebih telah ditanamkan di pemikiran rakyat bahawa mendiang Beng Hock telah dibunuh.

"Apabila keluar laporan reaksi itu semenangnya kita faham dan telah dijangka. Tetapi saya yakin mereka yang ikuti isu ini dengan penuh sabar, yang mahu kebenaran ditunjukkan, saya pecaya mereka dapat menerima laporan yang dibentangkan oleh suruhanjaya," tambahnya.

Katanya, kematian Teoh disebabkan oleh kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dimahukan SPRM.

"Keadaan itu berlaku disebabkan overzealous dan melibatkan segelintir kakitangan SPRM. Ini perangai masing-masing, macam mana pun kalau sudah buat salah, kena disiplinkan," katanya.

Nazri mengumpamakan perkara itu seperti pepatah Melayu 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS