Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Video polis adalah rakaman sahih dan sah, kata TPM
Diterbitkan:  Jul 23, 2011 10:00 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Rakaman video pada perhimpunan 9 Julai lalu yang dipaparkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah rakaman yang sahih dan sah bertujuan mendedahkan situasi sebenar dan bukannya bermotifkan politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

muhyiddin yasin Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak tertipu dan terpedaya dengan dakyah parti pembangkang berhubung rakaman video oleh PDRM itu.

"Kita harus terima dengan yakin kredibiliti (video pihak polis itu), jangan kita yakin dengan video yang dipaparkan oleh media alternatif, dalam YouTube misalnya yang jelas banyak mengubah kandungan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2011 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

"Saya minta polis menyiarkan (video ini) di (stesen-stesen) televisyen, supaya rakyat boleh melihat dan menilai (berbanding siaran YouTube dan media alternatif)," katanya sambil mempertahankan rakaman video yang dikeluarkan oleh PDRM itu adalah tulen.

NONE Beliau berkata berbeza dengan pembangkang, polis menyiarkan video yang sah dan tidak diambil atau diceduk dari mana-mana pihak kerana sekiranya polis berbuat begitu akan ada pihak-pihak yang mempertikai video polis itu.

Katanya video itu menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh pembangkang termasuk timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang berceramah atas kerusi roda kerana kononnya dilanggar oleh van polis semasa perhimpunan aman itu.

Pembohongan halal?

"Jadi kalau ketua parti PAS (Mohamad Sabu) berbohong, bagi PAS pembohongan itu halalkah?" tanya Muhyiddin.

NONE Katanya pemimpin PAS itu mungkin terjatuh atau sebagainya tetapi ia tidak sama sekali kerana tindakan polis.

Mengenai laporan bahawa Mohamad Sabu akan memfailkan saman di  mahkamah berhubung dakwaan kekasaran pihak polis terhadapnya, Muhyiddin berkata "itu merupakan hak dia".

    

Timbalan Perdana Menteri berkata video itu juga menjawab tindakan polis menyembur gas pemedih mata di lorong berdekatan Hospital Tung Shin yang dijadikan isu sesetengah pihak serta insiden kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad.

Sementara itu, Ismail ketika ditemui pemberita berkata beliau telah menyerahkan rakaman video itu kepada stesen penyiaran termasuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3.

NONE "Kita dah bagi dan serah kepada TV3 dan RTM dan kini terpulang kepada mereka (televisyen) untuk menyiarkan video itu kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata tuduhan pembangkang terhadap polis berhubung isu perhimpunan BERSIH itu bukan satu budaya yang baik untuk menjaga keamanan negara.    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS