Buku Laporan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock terjual sebanyak 181 buah hari ini di ruang legar Bangunan Bahagian Hal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sehingga 5 petang ini.
Pegawai Perhubungan Awam BHEUU Mahani Mohd Yusoff berkata daripada jumlah itu, 81 buku adalah dalam versi Bahasa Melayu dan 100 lagi dalam Bahasa Inggeris.
"Orang ramai mula mendapatkan buku laporan tersebut, yang dijual pada harga RM45 setiap satu, sejak pukul 10 pagi tadi, dan kebanyakan pendaftaran belian dibuat atas nama individu," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan laporan tersebut di Aras 5, Seksyen Kewangan di bangunan yang sama selepas ini kerana BHEUU mencetak 800 naskhah untuk dijual.
Semalam, suruhanjaya berkenaan merumuskan Teoh, 30, setiausaha politik seorang Exco Selangor, membunuh diri dengan terjun dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.
Mengikut rumusan suruhanjaya itu dalam laporan setebal 124 muka surat yang didedahkan kepada media semalam, tindakan itu didorong soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan terhadap Teoh oleh pegawai SPRM pada malam 15 Julai 2009, dan awal pagi keesokan harinya.
Lima anggota panel yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong berpendapat Teoh jatuh dari tingkat 14 dalam keadaan sedar berdasarkan kecederaan yang dialaminya.
- Bernama