Isteri Teoh Beng Hock - Soh Cher Wei - menganggap penantian berbulan-bulan hasil siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menentukan punca kematian suaminya sebagai ‘mimpi’ yang baru berakhir.
Sambil mengucapkan ‘terima kasih’ kepada suruhanjaya yang diarah ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana memberi harapan palsu itu, Soh Cher Wei berkata rumusan itu ibarat ‘tamparan’ yang mengejutkannya dari lena dibuai mimpi.
"Terimakasih RCI kerana membiarkan saya dibuai mimpi untuk selama beberapa bulan. Sekarang selepas ditampar (dikejutkan), sekarang masa untuk bangkit,” katanya dalam SMS kepada media.
Sementara itu, Bernama melaporkan ibu kepada mendiang Teoh Beng Hock, juga menolak hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock, bahawa kematian anaknya berpunca daripada bunuh diri.
Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.
Teng Huw Hoi, 58, berkata beliau tetap yakin bahawa Teoh tidak membunuh diri atas alasan anaknya itu seorang yang baik.
"Saya seorang ibu, saya tidak boleh terima anak saya mati bunuh diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Alor Gajah hari ini.
Teng yang enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengeluarkan kenyataan.
Kata Teng, beliau dan suaminya Teoh Leong Hwee serta anggota keluarga lain akan ke Kuala Lumpur pada petang ini untuk menemui peguam mereka.
Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding suruhanjaya diraja menyiasat kematiannya yang didedahkan kepada umum hari ini.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.