Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan segera meneliti secara keseluruhan laporan suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang cadangan atau syor yang dibuat oleh suruhanjaya berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata suruhanjaya itu akan terus menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dalam membanteras jenayah rasuah dan memastikan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat dan negara.
"SPRM komited dan telah memberi kerjasama yang penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja sepanjang perjalanan penyiasatan tersebut dan akan menerima keputusan yang dibuat secara terbuka," menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa suruhanjaya diraja itu mendapati setiausaha politik DAP itu membunuh diri.
Nazri berkata, suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiga pegawai SPRM didapati telah menggunakan taktik soal siasat yang "agresif, tidak wajar, maka langgar peraturan", kata Nazri dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen petang ini.
Bagaimanapun, Nazri menambah, pegawai SPRM itu tidak mempunyai niat untuk membunuh Teoh.