Ketua Pembangkang Johor Dr Boo Cheng Hau hari ini mempersoalkan integriti pengerusi Jawatankuasa Kira-kira (PAC) negeri itu Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman yang didakwa membina sebuah banglo di Simpang Renggam tanpa kelulusan pihak majlis tempatan.
Bagaimananpun Abdul Hamid yang juga ADUN Machap dalam kenyataannya menafikan dakwaan itu dan berkata Boo yang juga ADUN Skudai itu cuba menepis isu sebenar yang dirinya diperintah keluar dari dewan undangan negeri baru-baru ini kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Hamid mengakui tapak tanah di mana banglonya didirikan itu adalah tanah miliknya yang diklasifikasikan sebagai tanah pertanian.
“Saya telah memohon untuk permit sebelum pilihan raya 2008 tetapi pihak majlis tempatan belum meluluskannya. Oleh kerana belum ada kelulusan, maka saya menghentikan projek itu,” kata Abdul Hamid.
Boo, yang juga pemimpin DAP Johor pada sidang akhbarnya hari ini mahu ADUN Machap itu dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor supaya tindakan diambil berhubung integritinya.
“Integriti beliau perlu disiasat sebab gagal mematuhi undang-undang di mana pelan bangunan rumah kediaman baru beliau perlu diluluskan oleh PBT sebelum pembinaan dimulakan,” kata Boo.
“Saya juga mencabar Menteri Besar Johor menjelaskan pendirian beliau sama ada Abdul Hamid masih memperolehi integriti dan keyakinan awam untuk memegang jawatan Pengerusi PAC selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Boo mendakwa rumah Abdul Hamid terletak di lot tanah seluas 2.16 hektar yang bernilai RM280,000 dan menjangkakan bangunan banglo itu apabila siap kelak akan menelan belanja bernilai di antara RM1.5 juta hingga RM2.5 juta.
[Baca berita penuh]