Bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor berkata beliau yakin di sebalik tirai isu hak asasi, sebenarnya ada puak yang menentukan supaya negara yang menentang Yahudi dan Israel, akan jatuh dan Malaysia adalah salah sebuah negara tersebut.
"Pihak itu akan gunakan segala-galanya dan menjadikan orang politik tempatan yang telah dikaji latarbelakangnya sebagai sasaran atau alat menghalalkan cara mereka.
"Saya yakin ada tangan yang tersembunyi menggunakan soal hak asasi untuk menentukan kerajaan sesuatu negara yang ghairah membaham Israel akan jatuh," kata Rahim dalam wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.
Berdasarkan pengamatan dan bacaannya, kata Rahim, istilah hak asasi manusia sebenarnya lahir dari Ghetto of the Jews , di mana bangsa Yahudi mengalami tekanan, penindasan oleh pelbagai kuasa besar untuk beratus tahun lamanya sehingga tertubuhnya negara Israel.
"Akibat daripada hidup dalam buangan mereka melahirkan arus pemikiran menerusi penulisan, malah ada yang menyebut revolusi Perancis tercetus akibat bibit-bibit tulisan pemikir Yahudi di Eropah.
"Kita sebagai orang tepi, menerima bahangnya sekarang kerana saya yakin dan percaya bibit sejarah penderitaan orang Yahudi yang dizahirkan menerusi tulisan, telah di hijacked oleh pelbagai pihak termasuk AS," tambahnya.
Rahim percaya ada sesuatu "yang kita tidak nampak di peringkat antarabangsa" bertujuan mahu menentukan survival Yahudi dalam memastikan 'the promise land' yang disebut dalam kitab-kitab dalam pegangan mereka.
Kumpulan tanpa wajah ini, menurut beliau, bergerak di mana-mana dan "bagi saya AS kini menjadi Israel terbesar di dunia."
"Manakala tangan tersembunyi mencari mana-mana individu yang boleh dijadikan puppet (boneka), mereka boleh berpangkalan di mana-mana baik di Washington, Paris, Jakarta atau di mana saja.
"Tidak perlu ramai, mereka mungkin hanya tiga tokoh yang faceless dan merekrut beberapa wakil beberapa orang secara tidak untuk menyebarkan kerosakan dan menyalurkan dana yang bukan sedikit.
"Saya bimbang orang tempatan yang digunakan, akan fikir mereka lebih pandai umpama cerita Do Re Mi yang nak kenakan Pak Lebai untuk makan percuma, akhirnya mereka yang terkena," tegasnya.
Menurut Rahim lagi, beliau bimbang kelompok tersebut, akibat terlalu ghairah, tidak dapat melihat apa kaitan isu dalaman seperti pilihan raya dengan tangan-tangan tersembunyi ini.
"Sedangkan mereka sangat bijak, sangat kaya dan mengawal media termasuk dunia hiburan dan antarabangsa. Sebenarnya kita boleh lihat siapa hidden hand (tangan tersembunyi itu) jika kita betul-betul mahu lihat," katanya.
Isu ini, tambah Rahim, tidak akan selesai terutamanya apabila kuasa besar seperti AS menaungi orang begini.
Ditanya sejauhmana gerakan tersebut berjaya meresap di kalangan rakyat negara ini, Rahim berkata:
"Mereka tidak masuk secara terang-terangan. Segala-galanya bersahaja dan mengikut gelombang. Mereka ada di mana-mana sama seperti gelombang lain satu masa dahulu."
Menurut Rahim, setiap abad ada gelombangnya.
"Sekarang ini gelombang hak asasi manusia manakala abad ke-19 dan ke-20 menyaksikan gelombang fahaman sosialis yang melahirkan cara hidup baru selepas kejatuhan empayar Eropah," tambahnya