Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO Islam mahu Azizan tolak rundingan
Diterbitkan:  Jul 16, 2011 11:54 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Tindakan kerajaan Kedah mengarahkan semua pusat hiburan di negeri itu ditutup sepanjang Ramadan akan datang merupakan tindakan betul, bukan isu dan tidak perlu dirunding semula, kata NGO Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang sudah sedia ada perlu dihormati setiap rakyat tanpa mengira kaum.

“Tindakan (Menteri Besar) Datuk Seri Azizan (Razak) adalah satu tindakan yang betul kerana ia berdasarkan undang-undang.

"Oleh itu, ISMA menyokong tindakan beliau dan tidak timbul isu ia perlu dirunding semula.”

Abdullah berkata, sebagai menghormati Ramadan yang mulia, pengusaha pusat hiburan perlu mematuhi arahan walaupun sepatutnya aktiviti maksiat diharamkan bukan pada bulan itu sahaja.

Mengulas tuntutan DAP yang mahu perkara itu dirunding semula, Abdullah berkata, menyatakan bahawa pelaksanaan undang-undang dan penegakan syiar Islam tidak perlu dirunding, sebaliknya harus dihormati semua pihak.

ISMA juga turut menyelar MCA yang menjadi pihak terawal membantah larangan itu.

“MCA perlu terima hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang merdeka dan ada undang-undang sendiri.

"Jadi, tidak perlu merujuk kepada mana-mana norma asing seperti deklarasi hak asasi manusia atau sebagainya,” jelas beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS