Pertubuhan Baru Usno Sabah (Usno) memberi tempoh 14 hari kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjawap surat rasmi yang dihantarnya, baru-baru ini.
Kandungan utama surat rasmi itu meminta agar, pendaftaran Usno sebagai sebuah parti politik diberi kelulusan segera atau setidak-tidaknya diberikan jawapan sama ada permohonan berkenaan diluluskan atau ditolak.
Jika tiada jawapan, presiden Usno Datu Badaruddin Datu Mustapha berkata, mereka tidak akan teragak-agak untuk meminta Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan. Ini kerana dakwanya, layanan tidak adil telah diberikan kepada rakyat Sabah sejak awal lagi.
Beliau membandingkan usaha selama lima tahun untuk mendaftarkan pertubuhan tersebut sebagai parti politik tidak pernah berjaya, sedangkan Parti Makkal Sakti hanya memakan masa selama 60 hari untuk diluluskan oleh ROS.
“Kami mendesak pihak Barisan Nasional (BN) supaya berlaku adil dan saksama terhadap rakyat Malaysia yang berada di Sabah dengan mendaftarkan parti mereka, seperti mana pihak kerajaan dan ROS meluluskan parti politik di Semenanjung Malaysia, antaranya parti Makkal Sakti yang hanya memakan masa 60 hari untuk diluluskan.”
Sebelum ini, Datu Badaruddin merasakan peluang pertubuhan itu didaftarkan sebagai parti politik amat tipis dan mendakwa ia ada kaitan dengan kekhuatiran pihak tertentu akan kekuatan serta pengaruh Usno di Sabah yang kini keahliannya mencecah lebih daripada 100,000 orang.
Pihak jawatankuasa penaja Usno pada mesyuarat mereka baru-baru ini memutuskan akan menghantar memorandum kepada Seri Paduka melalui Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, sebagai tindakan selanjutnya.
Keputusan meminta campur tangan Seri Paduka dibuat demi memberi ruang kepada bekas ahli-ahlinya untuk berjuang semula melalui landasan politik yang wajar, dan bukan melalui pertubuhan haram, kata Datu Badaruddin sambil meminta kerajaan BN agar bersifat telus terhadap parti Sabah itu.
Menurut beliau lagi Usno bertekad menyertai pilihan raya umum ke-13 dengan apa cara sekalipun, termasuk melalui kelulusan sementara dan kelulusan khas kerana beranggapan suara demokrasi adalah penting.
“Perkara ini amat penting diambil perhatian agar suara demokrasi terus diamalkan di negara kita berdasarkan Perjanjian Malaysia yang menjamin hak rakyat di negeri Sabah, seperti mana yang dituntut oleh Presiden Usno, Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha, melalui 20 Perkara pada tahun 1963,” ujar beliau.
Walaupun belum terdapat sebarang pakatan, sama ada daripada BN atau pembangkang, namun pihak Usno berikrar akan bekerjasama dengan parti-parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat serta tujuan yang sama dengan perjuangan Usno, bagi mendapatkan suaranya dalam negara demokrasi.
“Di sini kami ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa, parti Usno yang didaftar semula adalah parti untuk semua rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya, dan tidak hanya untuk bumiputera negeri Sabah seperti mana parti kemerdekaan Sabah dulu,” katanya.
Beliau juga meminta agar ahli Usno dibenarkan menggunakan logo dan lambang sendiri bagi menghadapi pilihan raya nanti.
Sejak tahun 2006, permohonan menubuhkan Usno dalam bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah ditolak oleh ROS tanpa alasan munasabah. Ia hanya didaftarkan pada 26 Oktober tahun lalu sebagai sebuah pertubuhan.
Ketika ini, urusan pendaftaran Usno telah selesai di peringkat negeri dan sedang dirujuk di peringkat KDN untuk pertimbangan.