Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH mahu berhimpun di luar Stadium Merdeka
Diterbitkan:  Jul 8, 2011 7:27 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Penganjur BERSIH 2.0 membuat ketetapan rasmi untuk berhimpun di tempat letak kereta Stadium Merdeka esok walaupun dilarang polis yang memberi amaran untuk menangkap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.

NONE Dalam kenyataannya, BERSIH 2.0 menegaskan pihaknya semakin komited untuk berhimpun secara aman bersama rakyat Malaysia dalam menuntut pilihan raya bebas dan adil.

 

“Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan telah melalui perjalanan jauh dan penuh cabaran untuk sampai di saat yang genting ini yang bakal  mencorakkan sejarah negara kita.

“Dengan kurang 24 jam tinggal untuk perhimpunan aman BERSIH, tekad kami untuk mengharungi fasa terakhir dan yang paling sukar dalam ranjau ini... adalah lebih kukuh daripada sebelumnya dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil demi membina Malaysia yang lebih bagus,” kata gabungan itu.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian muktamad BERSIH untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka meskipun dilarang oleh polis dan jemaah menteri.

NONE Gabungan 62 NGO itu juga kesal kerana pihak berkuasa mengenakan pelbagai sekatan dalam usaha membatalkan perhimpunan itu.

“Walaupun berdepan dengan tawaran stadium yang dibuat secara tidak ikhlas, dan kemudian dinafikan permit, serta tangkapan, penahanan dan macam-macam lagi, kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk berurus dengan kerajaan secara ikhlas.

“Namun segala usaha kami itu dibalas dengan pelbagai sekatan,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, menurut BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini tidak ada sebarang sekatan yang akan memintas usaha ke arah keamanan dan keadilan.

NONE “Pada 9 Julai kami akan menegakkan hak perlembagaan kami untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka.

“Tidak ada mana-mana agensi kerajaan yang berhak untuk melarang rakyat daripada bergerak secara bebas... di ibu negara kita. Tidak ada ugutan dan hasutan yang boleh menafikan kebenaran asas ini,” kata BERSIH 2.0 lagi.

Menurut gabungan itu adalah amat penting, lebih-lebih lagi sekarang untuk rakyat yang patriotik untuk bangkit dan bersatu demi menyelamatkan Malaysia daripada tergelongsor lebih jauh ke dalam lurah kegelapan.

bersih rally 271207 05 “Kita akan berkumpul di tempat letak kereta dan percaya pintu (stadium) akan dibuka kepada kita.

“Ini adalah saat penting dalam sejarah dan kami yakin rakyat akan menyambut seruan untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang membentuk Malaysia. Bersama-sama kita berjuang untuk mewariskan kepada anak-anak kita sebuah negara yang adil, demokratik, dan penuh dalam kasih sayang untuk satu sama lain,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS