Kerajaan Pusat perlu bertindak tegas terhadap mereka yang merancang perhimpunan haram dengan menahan pengerusi penganjur perhimpunan itu Datuk S Ambiga di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata, tindakan itu perlu dibuat kerana adalah jelas Ambiga menggugat keselamatan negara dengan rancangannya itu.
"Saya tidak akan bersetuju dengan kerajaan kalau kerajaan tidak mengambil tindakan yang paling tegas terhadap mereka. Tidak ada gunanya kita memberi muka kepada mereka kerana rakyat pun sudah mula faham.
Katanya, langkah lain yang dirancang sebelum ini sudah tidak boleh digunakan kerana ia sudah mencapai kemuncaknya.
"Walaupun dia (Ambiga) bersetuju untuk mengadakan perhimpunan haram di stadium, tetapi ia tetap menggugat keselamatan negara. Sudah tentu akan berlaku perarakan di luar stadium sebelum mereka memasuki stadium,” katanya kepada pemberita selepas Program Perkampungan PMR, SPM dan STPM Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena di Kem Latihan Naka dekat Kuala Nerang, hari ini.
Sekiranya Ambiga menghormati Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas mendapat perkenan menghadap baginda sebelum ini, dia perlu membatalkan hasratnya untuk meneruskan perhimpunan haram itu, katanya.
- Bernama