Seorang lelaki bersenjatakan parang menjadikan kira-kira 30 orang kanak-kanak dan empat guru sebagai tebusan dalam kejadian di pusat asuhan kanak-kanak Serikids di Taman Sungai Abong, Jalan sakeh di Muar hari ini .
Lelaki berkenaan dipercayai menceroboh pusat jagaan tersebut pada pukul 9.30 pagi.
Berikutan itu, sepasukan polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman menyerbu pusat asuhan kanak-kanak itu kira-kira 3.45 petang ini.
Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata semua kanak-kanak yang berusia antara tiga dan lima tahun serta guru terbabit selamat.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah di Muar untuk pemeriksaan lanjut, katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Jalaluddin berkata lelaki terbabit pula berada dalam keadaan kritikal selepas terkena sedas tembakan di kepala dan dia juga dihantar ke hospital tersebut untuk rawatan.
Lelaki itu bagaimanapun meninggal dunia dipada 9.15 malam ini.
Terdahulu, sepasukan polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman bertindak menyerbu banglo dua tingkat itu selepas usaha membebaskan tebusan menemui jalan buntu.
Wartawan Bernama yang berada di lokasi kejadian turut mendengar bunyi tembakan dilepaskan.
Drama tebusan itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi tadi apabila seorang lelaki bersenjatakan tukul dan parang menceroboh pusat asuhan tersebut.
- Bernama