Kabinet tidak meluluskan permohonan BERSIH untuk menganjurkan perhimpunan di Stadium Merdeka dan Stadium Negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Utusan memetik kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai berkata ia kerana BERSIH bukan pertubuhan yang sah.
Sementara itu, Bernama pula melaporkan Rais mengesyorkan agar penganjur perhimpunan Sabtu ini mengadakannya di stadium-stadium di negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang.
"Oleh kerana mereka menguasai beberapa negeri dan lantaran gerak kerja politik mereka di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor, pilihlah tempat di negeri-negeri mereka. Negeri-negeri di mana kerajaan Barisan Nasional berkuasa dan mentadbir perlu menjadi pilihan kedua," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat Briged Komunikasi di pejabatnya di sini hari ini.
Rais berkata memandangkan BERSIH yang menganjurkan perhimpunan itu bukan sebuah badan yang sah daripada segi undang-undang, maka permohonan mereka untuk menggunakan stadium di sini seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara dan Stadium Nasional Bukit Jalil tidak dapat dipertimbangkan.
"Oleh itu, perlu bagi kumpulan itu diwakili oleh individu ataupun badan bukan kerajaan yang sah di sisi undang-undang untuk membuat permohonan bagi mengadakan perhimpunan itu bagi pihak Bersih," katanya.
Rais juga berkata pandangan masyarakat yang berdasarkan ribuan laporan polis yang menentang cadangan perhimpunan Bersih 2.0 juga perlu diberi pertimbangan secara setimpal oleh pihak berkuasa.
Malah, katanya, tindakan pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara semalam adalah satu pertemuan ikhlas yang diperkenankan oleh Seri Paduka baginda.
"Tetapi nampak oleh kita bahawa hasilnya dimanipulasi dan hasil manipulasi mereka ini adalah politik yang tidak bercorak sihat dan tidak baik untuk Malaysia," kata Rais.