Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga mengumumkan bahawa pihaknya akan berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini mulai jam 2 hingga 4 petang.
"BERSIH 2.0 bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana jua pihak bagi memastikan perhimpunan ini berjalan dengan aman dan lancar," katanya pada sidang media di ibu negara pagi ini.
Sehubungan itu, Ambiga juga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini.
Tidak kurang 100 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap dan ditahan kerana memiliki dan memakai baju BERSIH. Malah ada juga yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana didakwa terbabit dengan gejala subversif.
Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.
Bekas presiden Majlis Peguam itu juga berkata pihaknya telah mempersembahkan kenyataan dan pendirian mereka dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Tuan Mizan Zainal Abidin semalam.
Kenyataan dan pendirian tersebut adalah :
- BERSIH 2.0 menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan rapat umum di stadium. BERSIH 2.0 berharap polis memberi kerjasama untuk memastikan perhimpunan berjalan lancar. Wakil BERSIH 2.0 tidak melebihi 10 orang akan menyerahkan satu memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
- Kerajaan mesti menunjukkan ‘niat baik’ (good faith) dengan membebaskan semua yang telah ditahan termasuk individu-individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat dan memberhentikan tekanan, gangguan serta halangan kepada penyokong BERSIH 2.0
- Menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk pembaikan sistem dan proses pilihan raya.
Dalam kenyataan yang dibacanya, Ambiga turut mengulas mengenai tuntutan pihaknya berhubung penubuhan suruhanjaya diraja bagi mengkaji tuntutan BERSIH yang mendesak pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.tersebut.
Katanya suruhanjaya itu ditubuhkan untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihan raya yang sedia ada.
"Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan," katanya.
Selain lapan tuntutan utama BERSIH, Ambiga yang juga seorang peguam mendesak agar keenam-enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) mesti dibebaskan serta-merta atau di hadapkan ke mahkamah.
"Pendakwaan terhadap mereka yang ada kaitan dengan BERSIH 2.0 (perlu) ditarik balik atau digugurkan," katanya sambil menuntut mereka yang masih ditahan, hendaklah dibebaskan tanpa syarat.
Ambiga juga berharap semua gangguan, ugutan, tuduhan dan fitnah terhadap penyokong BERSIH 2.0 dihentikan.
"Ini bermakna rakyat dibenarkan memakai baju kuning.
"Usaha-usaha menjayakan perhimpunan BERSIH 2.0 di stadium tidak dihalang," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara ini.
Mengulas lanjut, Ambiga berkata pihaknya telah menghantar surat untuk berjumpa Najib dan berharap dapat bertemu "secepat mungkin".
"Kami berharap (dapat bertemu beliau) hari ini," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan memohon permit polis bagi mengadakan perhimpunan tersebut, Ambiga berkata:
"Mengenai (perhimpunan) di Stadium Merdeka, kami akan cuba untuk mendapatkannya. Kami belum memperolehinya lagi.
Ditanya sama ada pihaknya memerlukan permit, Ambiga berpendapat apabila kerajaan berkata perhimpunan itu boleh diadakan di Stadium, maka apakah perlu lagi permit.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis khususnya berkaitan dengan perjalanan trafik pada hari perhimpunan tersebut.
Berikutan itu, Ambiga menegaskan pihaknya menyediakan kira-kira 5,000 pengawal untuk menjaga keselamatan pada perhimpunan tersebut.
Bahkan, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam pada hari tersebut.
"Saya percaya, sekiranya mereka (polis) bekerjasama dengan kami, kita akan merasai keseronokan perhimpunan aman ini," katanya.
Katanya, beliau menjangka ramai penyokong BERSIH akan menghadiri perhimpunan di stadium berkenaan yang menurutnya, boleh menampung kira-kira 50,000 orang.
Beliau juga menjemput semua pihak khususnya Pemuda Umno untuk menyertai perhimpunan tersebut, ekoran kesediaan pergerakan itu berbincang berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya.
Ambiga juga turut mengalu-alukan penyertaaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sekiranya mereka menyokong tuntutan gabungan itu.
Ditanya bagaimana pihaknya akan menyerahkan memorandum tersebut, Ambiga berkata beliau bersama jawatankuasa Pemandu BERSIH, yang menurutnya tidak melebihi 10 orang, akan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.