Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong hari ini, BERSIH 2.0 bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

NONE Bagaimanapun setakat ini belum ditentukan stadium mana yang akan digunakan tetapi tarikh pada 9 Julai ini tidak berubah.

Jawatankuasa itu yang terdiri daripada pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga ( kanan ), Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, petang tadi.

"Kami telah memberitahu Tuanku bahawa kami menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

"Sehubungan itu, perhimpunan di atas jalan raya tidak akan berlangsung (pada Sabtu)," kata Ambiga kepada pemberita selepas bertemu Tuanku lebih satu jam setengah.

NONE Menurut Ambiga, pada sidang media selepas pertemuan itu, pihak jawatankuasa BERSIH 2.0 berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Sekarang, kami akan bekerjasama dengan kerajaan berhubung perhimpunan di stadium pada 9 Julai ini," katanya sambil menambah pihaknya akan berbincang dengan kerajaan mengenai stadium untuk berkumpul.

Ditanya wartawan sama ada tindakan itu satu bentuk kompromi, Ambiga menjawab:

"Ya. Dalam keadaan ini, kami berpendapat, (cara) ini jalan terbaik untuk meneruskan (perhimpunan ini). Kerajaan menawarkan stadium, maka kami akan meneruskan (perhimpunan) di stadium".

Pertemuan cukup baik

Menurut Ambiga pertemuan Tuanku Mizan berlangsung dengan suasana yang cukup baik dan pihaknya bersyukur dengan pertemuan tersebut.

NONE Sebelum itu, ketiga-tiga pemimpin itu dibenarkan mengadap Yang di-Pertuan Agong jam 1.55 petang tadi.

Kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk Istana negara.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sehubungan titah itu, Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS