Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baju BERSIH: Peniaga diheret ke mahkamah
Diterbitkan:  Jul 5, 2011 1:48 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Seorang peniaga hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Bharu kerana dituduh memakai dan memiliki baju-Tperhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Azrul Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Amizul Fazly didakwa mempamerkan pakaian yang tertera tulisan BERSIH 2.0 di sebuah kedai runcit di Kampung Permatang Piah, Bachok, pada pukul 2.40 petang, dua hari yang lalu, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki enam helai baju-T yang tertera perkataan BERSIH 2.0.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 kerana menyiar dan memiliki perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Azrul kemudiannya menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Bachok dan mengenakan jaminan RM4,000 kepada Mohd Amizul Fazly bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mohd Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd Yusuf, Ahmad Najib Deris dan Abdul Rashid Yah manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Hussin

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS