Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 Sasterawan Negara gesa tahanan BERSIH dibebaskan
Diterbitkan:  Jul 5, 2011 11:23 AM
Dikemaskini: 5:26 AM

Empat sasterawan negara tampil menggesa semua yang ditahan menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadual Sabtu ini dibebaskan segera.

Dalam kenyataan bersama Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata  mereka juga berharap pintu rundingan sentiasa dibuka.

"Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan," kata mereka.

NONE Mereka berkata, sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.

Setakat hari ini, sekurang-kurang 23 orang masih ditahan polis berkaitan perhimpunan BERSIH dengan enam daripadanya bawah ordinan darurat.

Sementara itu, keempat-empat mereka turut membela seorang lagi rakan mereka Sasterawan Negara Datuk A Samad Said ( atas, kanan sekali ) yang disiasat polis ekoran bacaan puisinya "Unggun-Bersih" yang dibacakan dalam majlis pelancaran BERSIH 2.0 sebelum ini.

"Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi.

"Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini," katanya.

Tuntut kebebasan berkata, berkarya

Menurut mereka lagi, sebagai karya sastera, sajak “Unggun-Bersih” sepatutnya diterima sebagai sebuah puisi kontekstual penyair dengan anggota masyarakatnya, dan berada di atas perkiraan  politik.

"Adalah menjadi salah satu peranan penulis untuk memindahkan denyut kehidupan anggota masyarakat ke dalam karya, atau menzahirkan dalam pelbagai bentuk manifestasi atau tindakan yang difikirkan sesuai oleh seseorang pengarang," kata mereka.

johor dap arrested by police bersih 030711 06 Justeru, mereka berharap anggota masyarakat, pengarang dan seniman akan terus diberi kebebasan untuk berkata dan berkarya.

Ini kerana, ucapan setiap warga negara dan karya sastera serta seni setiap seniman penting bagi sebuah budaya yang matang, serta memberi corak kepada tamadun sesuatu bangsa.

Walaupun jarang-jarang mengeluarkan kenyataan, kumpulan sasterawan negara sebelum ini mengeluarkan kenyataan bersama menentang dasar pengajian dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan mempertahankan novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein.

Abdullah dan seorang lagi sasterawan negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang baru menerima gelaran itu tidak terlibat dalam kenyataan bersama itu.

Sejak diperkenalkan pada 1981, Yang di-Pertuan Agong telah 11 kali memberikan anugerah paling berprestij dalam dunia sastera negara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS