Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat Ambiga, dakwaan guna bank terima dana asing
Diterbitkan:  Jul 4, 2011 5:28 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Polis akan menyiasat dakwaan mengenai sebuah bank tempatan yang dikesan digunakan oleh penganjur perhimpunan pada 9 Julai, Datuk S Ambiga untuk menerima dana dari beberapa NGO asing.

    

NONE Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ( kiri ) berkata polis akan bekerjasama dengan Bank Negara bagi menyiasat perkara itu.

    

"Kita akan menyiasat sesiapa juga yang ada elemen-elemen yang saya katakan boleh menunjukkan ada perkara-perkara yang telah berlaku, sedang berlaku atau pun dirancang berlaku yang boleh menjuruskan kepada ketidaktenteraman awam," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas Majlis pelancaran Command Post Exercise (CPX) PDRM -ATM.

    

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu hari ini melaporkan bahawa akaun bank tersebut yang sudah menerima ratusan ribu dana asing dan merupakan satu daripada lima akaun yang dimiliki pengerusi demonstrasi haram itu yang dirancang pada 9 Julai ini.

    

Menurut laporan itu lagi bank berkenaan menjadi pilihan Ambiga ( bawah ) dan NGO asing kerana sebahagian saham bank itu dimiliki seorang pemimpin pembangkang.

    

NONE Mengenai titah Yang di-Pertuan Agong semalam yang mengingatkan rakyat supaya memastikan tuntutan demokrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara, Ismail berkata rakyat sepatutnya menuruti titah tersebut

    

"Saya rasa sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa, kita kenalah mengambil perhatian titah Seri Paduka Baginda sebagai satu titah yang perlu diikuti untuk keamanan dan kesejahteraan negara," katanya.

    

Ismail berkata pihaknya akan mengambil apa sahaja tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menyalahi undang-undang negara ini terutamanya berkaitan perhimpunan haram yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

    

Sementara itu, Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata sehingga kini pihak polis menerima 4,000 laporan polis berkaitan perhimpunan haram itu.

    

Beliau berkata jumlah tangkapan pula seramai 220 orang, dan daripada jumlah itu 170 orang telah dibebaskan manakala selebihnya masih direman untuk siasatan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS