Datuk Ibrahim Ali berpendapat kumpulan pendesak Melayu PERKASA perlu meneruskan perhimpunan mereka pada 9 Julai sekiranya BERSIH 2.0 meneruskan demonstrasinya.
Bagaimanapun perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasanya pada 6 Julai ini.
"Ini cuma pandangan peribadi saya sebagai presiden PERKASA," katanya.
Ibrahim ( kanan ) juga menyifatkan cadangan itu sebagai mengikut rentak BERSIH.
"Kita ikut (tindakan) BERSIH saja. Kalau BERSIH A, kita A. Kalau BERSIH B, kita B," katanya yang juga anggota parlimen Pasir Mas.
Bagaimanapun, katanya, pendiriannya itu tidak bermakna tidak akur pada titah Yang di-Pertuan Agong.
'Ambiga biadap'
Ini kerana, katanya, PERKASA mahu memastikan keselamatan negara terjamin dan imej negara tidak terjejas dengan perhimpunan itu.
Perkara lain, seperti tempat perhimpunan atau permit polis diserahkan kepada 40 jawatankuasa PERKASA untuk memutuskannya.
Ditanya tentang kenyataan Pengerusi BERSIH S Ambiga ( kiri ) yang mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong, Ibrahim berkata tindakan itu tidak mengikut budaya Melayu.
"Esok kalau ada pihak lain hendak buat tunjuk perasaan, suruh batal, hendak jumpa (Yang di-Pertuan) Agong juga.
"Ini perhimpunan haram, saya rasa ini merendahkan martabat Yang di-Pertuan Agong," kata Ibrahim sambil menyifatkannya sebagai "biadap".
Oleh yang demikian, tambahnya, PERKASA tidak akan memohon mengadap Agong, kecuali dititahkan.
Memorandum mahasiswa
Sementara itu dalam sidang media yang sama, sekumpulan pelajar yang mengelarkan diri mereka sebagai "Mahasiswa Aman" turut menyerahkan memorandum membantah perhimpunan pada 9 Julai ini kepada Ibrahim.
Jurucakap kumpulan itu, Akmal Saufi Mohd Khalid ( kanan, bertali leher ) berkata perhimpunan kali berbeza dengan 2007 apabila tiga pihak dijangka bertembung.
"Bukanlah kami (menyebelahi) pada satu-satu pihak, kami adalah mahasiswa yang neutral yang mementingkan dan merisaukan keselamatan rakyat Malaysia," katanya.
Selepas menerima memorandum itu, Ibrahim sempat berseloroh dengan bertanya sama ada Akmal akan turut berdemo.
"Tidak," jawabnya ringkas sambil membuat isyarat tangan menolaknya.