Pheu Thai akan membentuk kerajaan campuran dengan empat parti politik lain bagi memastikan kerajaan stabil, kata calon perdana menteri Yingluck Shinawatra.
Pheu Thai yang memenangi 265 kerusi dalam pilihan raya umum semalam, akan bekerjasama dengan Chart Thai Pattana (19 kerusi), Chart Pattana Pueu Pandin (tujuh kerusi), Phalang Chon (tujuh kerusi) dan Mahachon (satu kerusi).
"Dengan 299 kerusi, kerajaan campuran stabil sepenuhnya untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan parti-parti itu di Bangkok hari ini.
Pemimpin Pheu Thai Yongyuth Wichaidit, penasihat Chart Thai Pattana Mej Jen Sanan Kajornprasart, pemimpin Chart Pattana Puea Pandin, Wannarat Charnnukul dan pemimpin Phalang Chon, Chao Maneewong hadir pada mesyuarat itu.
Yingluck berkata agenda segera kerajaan baru ialah untuk bekerja ke arah mencapai penyatuan rakyat dan menangani masalah ekonomi khasnya mengenai kenaikan harga barang dan komoditi.
"Kita juga akan memulihkan hubungan dua hala dengan negara jiran kita," katanya yang jelas merujuk pada hubungan Thai-Kemboja.
Hubungan kedua-dua negara agak renggang kebelakangan ini akibat konflik sempadan.
Beliau berkata kesemua lima parti komponen berkongssi aspirasi yang sama untuk membawa negara ini ke mercu pembangunan baru dan kestabilan untuk manfaat rakyat.
Mengikut Perlembagaan Thai, Parlimen mestilah mengadakan sesi sidang pertamanya dalam masa 30 hari dari hari pilihan raya dan kemudian akan memilih perdana menteri menerusi proses pengundian di parlimen sebelum kerajaan baru boleh dibentuk.
Pemimpin umum Pheu Thai, bekas perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra membayangkan semasa pilihan raya bahawa parti itu akan membentuk sebuah kerajaan campuran sungguhpun jika ia mampu membentuk sebuah kerajaan parti tunggal kerana ia sukar untuk bekerjasama jika semua parti yang kalah bergabung dengan pembangkang.
Chart Thai Pattana merupakan sebuah rakan campuran dengan pentadbiran sebelum ini yang dipimpin oleh Demokrat.
Chart Pattana Puea Pandin adalah sebuah parti yang digabungkan antara Ruam Jai Thai Chart Pattana dan Puea Pandin di mana kedua-dua parti merupakan rakan campuran pentadbiran sebelum ini.
- Bernama