Seorang daripada dua orang yang didakwa oleh kerajaan sebagai ‘ejen asing’ dalam tangkapan berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 telah diusir dan dihantar pulang.
Song Min Young, 24, dihantar ke Korea Selatan malam semalam, kata penaja tempatannya Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI).
Menurut seorang jurucakap kumpulan itu Song selamat mendarat pagi ini dan dalam perjalanan ke rumahnya di Gwangju..
Song, 24, adalah pelajar Universiti Kebangsaan Chonnam National yang sedang menjalani latihan amalinya dengan NIEI, sebuah badan pemantau pilihan raya tempatan.
Beliau pertama kali ditahan ketika menyertai program Parti Sosialis Malaysia yang menjelajah Johor pada Sabtu lalu bagi menjalankan kajiannya untuk NIEI.
Turut ditangkap pada majlis itu adalah aktivis politik Filipina Romeo Castillo, yang juga adalah tetamu PSM bagi bulan Jun.
Kedua-dua mereka - Song dan Castillo - dibebaskan pada hari yang sama mereka ditangkap selepas kenyataan mereka dirakamkan.
Tetapi pada Isnin, Song ditangkap semula. Berikutan itu, kedua-dua mereka didakwa sebagai ‘ejen asing’ dan berita mengenainya dipaparkan di halaman utama akhbar milik Umno, Utusan Malaysia .
Castillo ditangkap pada petang Khamis ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang menuju ke Manila. Beliau kini ditahan di ibu pejabat polis daerah Sepang. Menurut PSM, Castillo masih dalam tahanan.