Usahasama sebuah syarikat Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte Ltd yang belum menunjukkan sebarang kemajuan projek di tanah gantian bertaraf antarabangsa di republik itu dipersoalkan Dewan Pemuda PAS Johor.
Dalam satu kenyataan media, ketuanya, Suhaizan Kayat berkata sedangkan tanah yang dimiliki Keretapi Tanah Melayu (KTMB) yang dipajak selama 79 tahun telah diserahkan kepada republik itu.
"Tanah ini akan hilang tidak kembali. Sebagai balasannya Singapura akan menggantikannya dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor.
"Terdapat syarikat usahasama Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte. Ltd yang dimiliki 60 peratus ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus ekuiti dipegang Temasek Holdings yang akan membangunkan tanah tersebut.
"Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura?” soalnya.
Tergadai
Menurut Suhaizan, maruah rakyat dan negara Malaysia akan tergadai jika syarikat M-S Pte Ltd gagal membangunkan projek berkenaan.
Suhaizan yang juga exco Pemuda PAS Pusat meluahkan kebimbangan kerana tanah itu "akan terdedah kepada pemilikan bebas" apabila ia dimajukan oleh syarikat berkenaan dan bakal dijual dalam pasaran.
"Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional.
"Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang.
"Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?" soal Suhaizan.
Sehubungan itu, Suhaizan menyifatkan penyerahan tanah KTMB kepada Singapura "menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang".
Beliau juga membidas kerajaan Malaysia kerana sanggup menyerahkan tanah itu kepada Singapura "demi mengejar keuntungan material semata-mata" dan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta.
"Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini," katanya.
Semalam, perkhidmatan tren KTMB di stesen Tanjong Pagar melabuhkan tirai dengan diiringi linangan air mata pengunjungnya malam tadi, setelah 80 tahun menaburkan jasa menghubungkan rakyat di Semenanjung dengan Singapura.
Batu kerikil
Sebaik sahaja tren terakhir yang dipandu oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bergerak meninggalkan stesen tepat pukul 11 malam, para pengunjung stesen itu turun beramai-ramai ke landasan untuk merakamkan gambar serta mengutip batu kerikil di landasan untuk dijadikan kenangan.
Ramai di kalangan pengunjung kelihatan menitiskan air mata selepas tren terakhir itu berlepas. Sultan Johor memandu tren terakhir itu sebagai simbolik berakhirnya perkhidmatan KTMB di stesen itu.
Tepat jam 12 tengah malam, stesen yang telah beroperasi selama lapan dekad memberikan perkhidmatan menghubungkan Malaysia dan Singapura sejak 1932 itu menghentikan operasinya dari stesen itu secara mutlak.
Bermula hari ini, perkhidmatan KTMB dari Singapura akan beroperasi dari stesen kereta api Woodlands.