PAS mendakwa, pelekat palsu sedang dicetak dalam "kuantiti yang besar di seluruh negara" untuk mensabotaj perhimpunan BERSIH 2.0 bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.
Naib presidennya, Salahuddin Ayub berkata, parti itu menerima
maklumat bahawa pelekat tersebut sedang dicetak dalam kuantiti besar di Johor dan juga, dipercayainya di seluruh Malaysia.
"Kami percaya pelekat itu akan diedarkan kepada rakyat," katanya pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pelekat palsu itu, kata Salahuddin, sedang dicetak dengan perkataan "Bersama Kita tumbangkan kerajaan sekarang. Buktikan kita mampu seperti Libya."
(Kerajaan Libya pimpinan Muammar Gaddafi masih berkuasa di negara itu).
Salahuddin berkata, ia adalah satu rancangan yang teliti dan teratur untuk mensabotaj BERSIH.
Menurutnya, PAS sedang berbincang dengan peguamnya dan akan membuat laporan polis apabila ia memperolehi sekurang-kurangnya satu pelekat palsu tersebut.
"Saya rasa, mereka ingin menyamakan kita (BERSIH) dengan apa yang berlaku di Timur Tengah," kata ahli parlimen Kuala Krai, Hatta Ramli.