Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa beberapa anggota wanitanya yang ditahan di lokap polis Kepala Batas sejak Ahad lalu dikasari dan diberi layanan buruk serta dinafikan hak melawat oleh keluarga mereka.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM V Selvam ( kiri ) berkata beliau menerima aduan daripada 14 tahanan wanita bahawa keadaan di penjara semasa tahanan reman mereka yang dijangka berterusan hingga 2 Julai ini adalah sebegitu buruk.
Selvam mendakwa seorang daripada tahanan itu juga ‘ditolak dan diludah’ manakala seorang lagi yang dikenali sebagai G Pakialetchumy mendakwa dia disepak pada bahagian kakinya.
Katanya, seorang tahanan lagi P Jody yang meminta air minuman tetapi diberitahu supaya minum air daripada mangkuk tandas di lokap itu.
"Seorang tahanan meminta air minuman untuk menelan pil sakit kencing manisnya tetapi secara sengaja diberikan air sirap,” katanya kepada Malaysiakini di Kepala Batas, lewat malam semalam.
"Apabila wanita berkenaan dirah menukar pakaian mereka kepada pakaian lokap, anggota polis lelaki memerhatikan mereka,” katanya.
Tahanan lain termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Choo Chon Kai dan 13 aktivis lain yang dicekup polis di tol Sungai Dua pada Ahad lalu ketika kumpulan itu dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis bertema "Udahlah...Bersaralah".