Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menafikan fitnah bahawa pihaknya menerusi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil tanah wakaf Masjid Jalan Tengah, Jalan Burma di Georgetown dan menjualnya kepada pihak ketiga.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kasim, berkata tanah masjid berkenaan di Lot 205 yang telah didaftarkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 5 Januari 1993 itu masih menjadi hak MAINPP.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dilemparkan pihak tertentu... saya tegaskan tanah itu masih milik MAINPP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebuah akhbar baru-baru ini mendakwa "MPPP menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial, mengundang kemarahan kariah masjid berkenaan".
Sementara itu, berhubung penutupan jalan belakang ke Masjid Jalan Tengah yang dibantah penduduk baru-baru ini, Abdul Malik berkata siasatan mendapati terdapat kerja pembinaan struktur separuh konkrit dan berbumbung di atas Lot 206 (bersebelahan Masjid Jalan Tengah) yang dimiliki oleh orang perseorangan.
Abdul Malik berkata, pemilik tanah juga didapati menutup laluan belakang ke masjid dengan binaan zink dan tindakan itu menyusahkan masyarakat Islam yang menggunakan laluan berkenaan ke masjid.
"Ada pihak menuduh MPPP terbabit dalam rasuah kerana meluluskan pembinaan bangunan yang sedang dijalankan itu, sebenarnya premis yang masih dalam pembinaan tersebut dibina tanpa kebenaran MPPP.
"Berikutan itu, pada 11 Mei lalu MPPP telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 72(1) Akta Parit dan Bangunan (AJPB) 1974, supaya menghenti dan merobohkan binaan tersebut," katanya.
Katanya, pada 24 Jun lalu, notis AJPB telah disempurnakan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan terhadap pihak yang berkenaan.
- Bernama