Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan, kesilapan mendaftarkan status agama oleh Pejabat Pendaftaran antara punca berlakunya kekeliruan dalam isu murtad.

Katanya, terdapat kes di mana terdapat golongan bukan Islam yang mempunyai nama Melayu-Islam membuat permohonan menukar agamanya di Mahkamah Syariah.

NONE "Nama macam Islam-Melayu, macam nama Muhammad. Tetapi bila pergi daftar, Pejabat Pendaftaran terus masukkan agama Islam, sedangkan dia nama Islam tetapi dia bukan (Islam).

"Jadi, (kes) ini dibenarkan mahkamah supaya dibetulkan balik agama dia. Itu antara berapa contoh yang berlaku kekeliruan. Jadi tak timbul (isu) mahkamah meluluskan (murtad)" katanya.

Menurut Jamil Khir ( kanan ), kes sebegitu biasanya berlaku di Sabah dan Sarawak.

Jamil Khir diminta menjelaskan jawapannya di parlimen pada 14 Jun lalu bahawa dalam tempoh sepuluh tahun antara 2000 hingga 2010, sebanyak 863 permohonan menukar agama oleh orang Islam dibuat dan sebanyak 168 diluluskan.

(Berdasarkan statistik mengikut negeri, jumlah itu didapati mempunyai kesilapan kiraan. Jumlah sebenar yang memohon sebanyak 686 orang dan 135 diluluskan.)

Jumlah murtad kosong

Bercakap dalam sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan zakat perniagaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini, Jamil Khir juga menjelaskan, jawapanya sebenarnya merujuk kepada golongan yang tidak sah keislamannya.

siti fatimah tan abdullah tan ean huang Selain kesilapan pendaftaran, Jamil Khir juga berkata, terdapat kes lain seperti seorang tukang masak Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang ( kanan ) yang dibenarkan menukar status agamanya kepada Buddha.

Ketika membacakan keputusannya pada 8 Mei 2008, Hakim Mahkamah Syariah Pulau Pinang Othman Ibrahim menjelaskan responden (Siti Fatimah) tidak dianggap sebagai Islam dan tidak boleh dianggap murtad kerana proses pengislamannya tidak sah.

Ditanya apakah sebenarnya maksud "lulus" yang dinyatakan dalam jawapan bertulisnya di parlimen, Jamil Khir berkata:

"Maksud lulus (itu) bukan lulus murtad. Kamu pergi daftar di mahkamah bawah nama (kes) murtad, tetapi dia tak timbul soal murtad sebab Islam dia sendiri tak sah. Daftar saja nama di situ begitu."

Sehubungan itu, menjawab soalan, Jamil Khir menjelaskan dalam tempoh itu, jumlah sebenar yang murtad adalah kosong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS